REMBAU – Dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau yang maut dalam nahas di Jalan Chengkau-Panchang-Lubok Cina di sini semalam merupakan kawan baik sejak mereka di universiti itu.
Dalam kejadian pukul 4 petang itu, Ismawanie Husna Ismail, 19, yang merupakan pelajar jurusan Diploma Pengurusan Maklumat dan pembonceng, Nur Ain Zulaisya Zahrain, 18, penuntut Diploma Komunikasi dan Media meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut ibu Nur Ain Zulaisya, Ayuzana Zahari, 45, anaknya dan arwah Ismawanie yang tinggal di bilik sama baru dikatakan keluar untuk mengisi petrol motosikal.
“Malam sebelum kejadian, anak saya buat panggilan video beritahu rakannya sewa motosikal kerana ada urusan. Mereka mempunyai lesen, namun saya terkejut apabila mengetahui anak terbabit nahas pada pukul 4.50 petang,” katanya ketika ditemui di Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Anggota polis melakukan siasatan di lokasi kemalangan yag mengakibatkan dua pelajar UiTM cawangan Rembau maut di Jalan Chengkau-Panchang-Lubok China semalamSementara itu, ibu arwah Ismawanie, Rusfalisa Alias, 47, berkata, dia mendapat tahu mengenai nahas tersebut selepas azan asar dan terkejut kerana baru menghantar remaja tersebut selepas cuti Krismas baru-baru ini.
Polis sebelum ini memaklumkan, motosikal jenis Yamaha NVX dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri dan melanggar besi penghadang ketika mereka dalam perjalanan dari arah UITM Rembau menghala ke Pekan Lubok China. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
9
















































