PENARIKAN diri Kemboja daripada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Korat, Thailand dijangka memberi kesan langsung terhadap sasaran kutipan pingat kontinjen negara susulan kemungkinan beberapa acara terpaksa digabungkan akibat kekurangan penyertaan.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata, berdasarkan jadual diterima setakat ini, Kemboja tidak tersenarai sebagai peserta sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap struktur pertandingan dan peluang pingat atlet negara.
“Kalau melihat kepada jadual yang kami terima, memang tidak ada penyertaan Kemboja. Kerisauan saya apabila ada penarikan diri negara lain, ia memberi kesan kepada penjadualan dan kemungkinan berlaku penggabungan kelas,” katanya.
Menurut beliau, penggabungan kelas boleh menjejaskan keadilan saingan kerana atlet daripada kategori berbeza terpaksa bersaing dalam satu acara yang sama.
“Apabila kelas digabungkan, seperti contoh T36 dengan T38, ia melibatkan keupayaan yang berbeza. Situasi ini boleh memberi kesan kepada atlet yang terbabit dan dari sudut tertentu, ia tidak adil,” jelasnya.
Zarrawi turut memberi contoh acara blind football dan CP football yang kini berdepan risiko pengurangan set pingat apabila jumlah negara bertanding tidak mencukupi.
“Asalnya empat negara, sekarang tinggal tiga. Bila jadi begini, ada kemungkinan hanya emas dan perak dipertandingkan. Perkara seperti ini memang memberi kesan kepada kutipan pingat kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui olahraga dan renang kekal sebagai sandaran utama kontinjen negara dengan jangkaan menyumbang hampir dua pertiga daripada keseluruhan pingat Malaysia di temasya berkenaan.
“Seperti biasa, olahraga dan renang menjadi sandaran kita. Kita anggarkan dua pertiga pingat akan datang daripada dua sukan ini, manakala selebihnya daripada sukan lain seperti tenpin boling, berbasikal dan sebagainya,” katanya.
Zarrawi berkata, kontinjen negara dibarisi 64 atlet dengan olahraga mencatatkan penyertaan paling ramai, sekali gus mengukuhkan peranan sukan itu sebagai penyumbang utama pingat.

16 hours ago
5

















































