Apartmen jadi mini lab bungkus ekstasi, MDMA RM5.33 juta

5 hours ago 4

JOHOR BAHRU – Empat lelaki tempatan diberkas selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah menerusi tiga serbuan di sekitar Johor Bahru pada 10 dan 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, dalam siri serbuan bermula pukul 4 petang, suspek yang diberkas masing-masing berusia 35 hingga 54 tahun.

Menurutnya, serbuan pertama di sebuah apartmen di Taman Delima membawa kepada penahanan dua lelaki serta rampasan pelbagai jenis dadah termasuk serbuk MDMA seberat 10 kilogram (kg) dan pil ekstasi 2kg.

“Serbuan kedua pula dilakukan di tepi jalan kawasan Taman Sri Tebrau, membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki bersama syabu seberat 1.44 gram (g).

“Serbuan ketiga di sebuah apartmen di Jalan Larkin berjaya menahan suspek keempat dan merampas sejumlah besar dadah pelbagai jenis termasuk serbuk MDMA (15.31 kg), serbuk ekstasi (3.46 kg), pil ekstasi (3.49 kg), pil Erimin 5, ganja, ketamin dan syabu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, secara keseluruhan, dadah yang dirampas seberat 37.62 (kg) bernilai RM5.33 juta.

Kata Ab Rahaman, sindiket ini dipercayai aktif sejak Mac lalu dan menggunakan modus operandi (MO) dengan menyewa apartmen berpagar sebagai tempat penyimpanan serta membungkus dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Jelasnya, dadah berkenaan disyaki diperolehi dari sindiket yang lain memproses dadah berkenaan dalam negara.

“Sindiket ini mereka tak proses, mereka cuma membungkus bekalan yang dibeli dan edarkan kepada pelanggan, mereka jual ke pusat-pusat hiburan di sekitar negeri ini,” katanya.

Beliau menambah, siasatan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

Katanya, polis turut menyita tiga buah kereta dan pelbagai barangan kemas bernilai RM123,200, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan serta sitaan sebanyak RM5.45 juta.

Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari bermula 11 hingga 17 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |