Apa yang rakyat nikmati 2025

1 month ago 29

PETALING JAYA – Bermula hari ini, negara bakal menyaksikan pelbagai pelaksanaan yang me­rubah landskap negara termasuk melibatkan kenaikan gaji minimum, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi berkaitan RON95 dan bantuan kepada penuntut universiti.

Hari ini juga, semua platform media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia seperti Telegram, WhatsApp dan Facebook perlu mempunyai Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi.

Mereka yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara lima ­tahun.

Selain itu, dobi dan bangunan tempat kerja antara 28 tempat dilarang merokok, yang mana tindakan penguatkuasaan untuk kedua-duanya juga dilaksanakan bermula hari ini, mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Bermula 1 Januari juga, kadar duti eksais bagi minuman bergula sebanyak 40 sen seliter bertujuan menyokong gerakan Perang Terhadap Gula dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan pada 29 Jun lalu.

Menariknya, bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa sebanyak RM400 dijangka memanfaatkan kira-kira 60,000 mahasiswa yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Tahun 2025 juga bakal menyaksikan cuti hujung minggu di Johor diubah semula kepada hari Sabtu dan Ahad.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pula akan bermula 12 Januari dengan kumpulan pertama melibatkan 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ia adalah fasa percubaan sebelum diperluaskan bermula Jun ini.

Seterusnya pada 1 Februari depan, pelaksanaan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Perkara penting lain yang bakal dilaksanakan ialah bantuan tunai kepada rakyat yang berkelayakan dipertingkatkan daripada segi jumlah penerima dan nilai bantuan.

Kadar maksimum bakal di­terima turut meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700, manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kategori bujang menerima RM600.

Selain itu, kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 sebulan, manakala Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan antara RM200 hingga RM250.

Tahun 2025 juga menyaksikan pengecualian percukaian pendapatan individu ke atas elaun penjagaan warga emas iaitu ibu bapa, datuk dan nenek dan beberapa pelepasan cukai lain.

Untuk pertengahan 2025 pula menyaksikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95, yang mana penjimatan ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.

Read Entire Article
Pertanian | | | |