RAFAH, Mesir – Pelakon Hollywood, Angelina Jolie mengunjungi pintu sempadan Rafah di Mesir dan berbincang dengan anggota-anggota Bulan Sabit Merah serta pemandu lori yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, demikian menurut wartawan AFP.
Diiringi delegasi dari Amerika Syarikat (AS) dan disambut oleh pegawai-pegawai yang berkhidmat di Lintasan Rafah, Jolie berkata, adalah satu penghormatan buat dirinya kerana dapat bertemu para sukarelawan di pintu sempadan tersebut.
Seorang sukarelawan Bulan Sabit Merah memberitahu pemenang Anugerah Oscar itu bahawa terdapat beribu-ribu lori bantuan yang hanya menunggu di pintu sempadan dibuka untuk masuk ke Gaza.
Menurut media tempatan, pelakon dan bekas utusan khas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengadakan lawatan untuk melihat keadaan rakyat Palestin yang cedera dan dipindahkan ke Mesir termasuk meninjau penghantaran bantuan ke Gaza.
Jolie dan pihak berkuasa Mesir setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai lawatan tersebut.
Pintu sempadan Rafah sepatutnya dibuka semula di bawah gencatan senjata yang berkuat kuasa di Gaza sejak Oktober tahun lalu, namun sehingga kini ia masih ditutup.
Dalam satu kenyataan bersama semalam, Mesir dan enam negara lain termasuk Arab Saudi menggesa masyarakat antarabangsa supaya memberi tekanan kepada Israel, sebagai kuasa pendudukan, agar segera menarik balik sekatan terhadap kemasukan dan pengagihan bekalan penting ke Gaza.
Pada awal Disember tahun lalu, Israel mengumumkan bahawa pintu sempadan Rafah hanya akan dibuka kepada mereka yang ingin meninggalkan Gaza, namun Kaherah segera menafikan pihaknya meluluskan langkah tersebut.
Jolie yang merupakan antara tokoh paling ikonik Hollywood, meletakkan jawatan sebagai utusan khas agensi pelarian PBB pada akhir 2022 selepas lebih 20 tahun berkhidmat dengan menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada isu kemanusiaan yang lebih meluas. – AFP

7 hours ago
4










![[VIDEO] Jiran bantu cekup penyamun pecah rumah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-03-at-3.18.17-PM-e1767426738794.jpeg)








![[VIDEO] Perompak terhormat ‘kontoi’ curi RON95 siap salotape nombor plat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-03-at-9.22.59-AM.jpeg)





























