Anak Muhammad Basir terima bantuan wang tunai, internet percuma setahun

3 weeks ago 17

SERDANG – Tiga anak kepada bekas wartawan Kumpulan Utusan, Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar, menerima bantuan wang tunai menerusi Tabung Kasih@Hawana susulan pemergian bapa mereka pada semalam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau turut menyumbang sedikit wang tunai peribadi bagi meringankan beban anak-anak tersebut.

“Saya juga akan memastikan mereka mendapat akses internet percuma selama setahun supaya tidak menghadapi sebarang kesulitan dalam pembelajaran dan komunikasi,” katanya ketika menziarahi anak-anak Allahyarham di kediaman mereka di Seri Kembangan hari ini.

Menurut Fahmi, Allahyarham Muhammad Basir merupakan penerima pertama Tabung Kasih@Hawana pada April 2023, dan beliau masih mengingati lawatan pertamanya ke rumah keluarga itu sebagai menteri.

“Ketika itu, antara usaha kita adalah menyediakan internet percuma kerana tiga anak Allahyarham masih belajar.

“Hari ini, saya amat terkesan kerana mereka (anak-anak arwah) kini benar-benar yatim piatu selepas kehilangan ibu pada Oktober 2023 dan semalam, kita menerima berita pemergian Allahyarham,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan seramai 303 individu telah menerima bantuan Tabung Kasih@Hawana setakat ini.

Jelasnya, inisiatif tersebut akan diteruskan bagi membantu lebih ramai bekas wartawan berdepan kesulitan terutama yang mengalami masalah kesihatan kronik.

Semalam, Kosmo! melaporkan Muhammad Basir yang juga pemenang Hadiah Kewartawanan 2005 (Institut Akhbar Malaysia) meninggal dunia di Hospital Serdang semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak saudara beliau dikenali sebagai Wanie Mat Noor menerusi akaun Facebook semalam.

Difahamkan, beliau mengalami masalah jantung dan disahkan mengalami beberapa komplikasi lain termasuk hati dan buah pinggang.

Allahyarham pernah bertugas di akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia sebelum syarikat Utusan Melayu Bhd ditutup pada 9 Oktober 2019.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak masing-masing berusia 15, 13 dan 10 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |