PETALING JAYA – Tular satu hantaran di Threads memaparkan keadaan sebuah rumah yang mengalami kerosakan dipercayai akibat perbuatan kanak-kanak ketika kunjungan beraya, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menerusi perkongsian oleh @Elledrena, gambar yang dikongsikan menunjukkan cermin pintu kaca rumah retak dan pecah, dipercayai akibat insiden tidak disengajakan waktu kanak-kanak bermain di dalam rumah semasa beraya.
“Ada orang datang beraya dan benda ni jadi. ‘biasalah budak budak’,” katanya di ruangan kapsyen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap segelintir ibu bapa yang dianggap mengambil ringan soal pengawasan anak-anak ketika berada di rumah orang lain.
Turut berkongsi pengalaman, @Farahwe mendakwa sering berdepan situasi sama setiap kali musim perayaan apabila kanak-kanak bebas memegang barangan kaca tanpa pengawasan.
“Setiap kali beli balang kuih raya baru, ada je mak bapak yang tak reti jaga anak. Lepas tu jatuh pecah, salahkan tuan rumah pula,” katanya.
Seorang pengguna, @Firdausjiwang_x berkongsi pengalaman serupa apabila rumah saudara mereka pernah mengalami kerosakan akibat perbuatan kanak-kanak.
“Saya pernah mengalami situasi yang sama di rumah arwah pak cik saya apabila cermin kereta dipecahkan. Saya menegur dua kanak-kanak tersebut dan meminta mereka menunggu di dalam rumah sementara saya menghubungi keluarga mereka.
“Selepas sejam, ibu bapa mereka datang dan berlaku pertengkaran. Namun apabila saya memaklumkan untuk membawa perkara itu ke balai polis, nada mereka terus berubah,” katanya.
Sementara itu, pengguna @Qyss menegaskan bahawa ibu bapa tidak seharusnya menjadikan alasan ‘biasalah budak-budak’ sebagai justifikasi terhadap kelakuan buruk anak-anak.
“Ada perkara yang boleh dianggap sebagai ‘biasalah budak-budak’, namun ada juga yang memerlukan tindakan tegas. Kalau ibu bapa tidak mampu mendidik anak, jangan sampai orang lain terpaksa melakukannya.
Anak merupakan tanggungjawab ibu bapa. Walaupun mereka mungkin teruja ketika berkunjung, pengawasan tetap perlu agar tidak berlaku perkara yang boleh disesali,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @Nnaniiss meluahkan rasa marah apabila anaknya sendiri pernah menjadi mangsa kecuaian kanak-kanak lain sehingga mengalami kecederaan serius.
“Pada malam raya pertama, kepala anak saya berdarah dan memerlukan lima jahitan, dengan kos rawatan sebanyak RM250. Namun, ibu kepada kanak-kanak tersebut hanya berkata ‘biasalah budak-budak’. Hakikatnya, anak beliau yang bertindak agresif, tetapi anak saya yang menjadi mangsa,” katanya.- KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5







![[VIDEO] Suami beli baju ‘ala hospital’ demi sedondon dengan isteri di hospital](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-28-at-4.51.14-PM.jpeg)








































