RAUB – Aksi mengejar sejauh hampir 100 kilometer antara polis dan sebuah kereta dinaiki lima individu berakhir apabila kenderaan itu terbabas di hadapan Balai Polis Dong, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, dua lelaki tempatan bersama tiga wanita warga Indonesia ditahan selepas kereta jenis Proton Preve yang mereka naiki melanggar tiang lampu isyarat dan sebuah kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian bermula apabila sepasukan anggota Unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Gua Musang mengesan kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan.
“Bagaimanapun, pemandu kenderaan itu enggan berhenti apabila diarahkan dan terus memecut laju menuju ke arah Raub secara berbahaya.
“Kejadian mengejar itu berakhir apabila kereta terbabit terbabas di hadapan Balai Polis Dong,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati tiga wanita warga Indonesia dalam kenderaan itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
Katanya, turut ditemui 34 biji pil disyaki dadah jenis yaba dan satu peket syabu dan siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran kereta tersebut juga palsu.
“Dua lelaki tempatan itu dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ atau pengangkut migran dengan menerima upah membawa warga asing dari Kelantan ke Kuala Lumpur,” katanya. – KOSMO! ONLINE