Ajaran The Ahmadi sesat, menyeleweng – MKI

1 month ago 38

PETALING JAYA – Ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light diputuskan sebagai sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Nooh Gadot berkata, keputusan berkenaan adalah susulan persidangan jawatankuasa itu pada 26 hingga 28 Jun lepas.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyembah maklum pandangan hukum berkenaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada 23 hingga Oktober lalu.

Malah katanya, Majlis Raja-Raja juga telah mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan itu bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.

“Mana-mana individu atau kumpulan orang yang mengamal dan menyebar fahaman, ajaran dan pegangan seumpama ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran ini serta dilarang berpegang dan beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah mengikut dan mengamalkan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan.

Rentetan itu juga kata Nooh, sebarang publisiti, pengajaran, penulisan, penyiaran dan penerbitan bahan bercetak, audio visual atau apa-apa yang berkaitan dengan ajaran itu adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat.

Beliau menegaskan umat Islam hendaklah berpegang kepada pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah, berdasarkan manhaj Asyairah dan Maturidiah dari segi syariah berpandukan mazhab Syafie.

Ia termasuk berpandukan mazhab muktabar yang lain seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Tambahnya, antara kepercayaan dan ajaran The Ahmadi yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (Imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.

Selain itu, pengikut ajaran berkenaan juga percaya Ahmad al-Hasan yang digelar al-Yamani berperanan sebagai utusan kepada Imam al-Mahdi yang akan membawa syariat baharu dan terakhir yang menyempurnakan ajaran serta syariat para nabi terdahulu.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |