Ahmad Zahid bebas, tidak boleh didakwa lagi – Peguam Negara

6 days ago 12

KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) kes melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bermakna Timbalan Perdana Menteri itu bebas dan tidak boleh didakwa lagi.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, keputusan itu bukan secara suka-suka
setelah dibuat dengan penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan dan penilaian pendakwaan berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepadanya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang prosiding.

“(Ahmad Zahid) bebas secara muktamad, mutlak tiada masalah. Jadi, beliau tidak boleh didakwa lagi. Kita menggunakan kuasa di bawah undang-undang apabila melihat enam representasi. Saya bertindak bukan atas suka-suka, ia adalah berdasarkan fakta undang-undang yang dibangkitkan,” katanya kepada pihak media selepas Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Pada 8 Januari lalu, AGC memutuskan NFA terhadap Presiden UMNO itu dalam kes melibatkan 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu susulan penelitian terhadap keseluruhan siasatan dan keterangan baharu
selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 mengumumkan DNAA
terhadap Ahmad Zahid atas pertuduhan itu.

Disoal pendakwaan kes berkenaan mempunyai prima facie, Mohd. Dusuki berkata, pihaknya
menggunakan kuasa diperuntukkan di bawah undang-undang serta penelitian lanjut terhadap
siasatan.

Beliau berkata, terdapat pelbagai aliran kewangan dan isu utama yang dikenal pasti yang
akhirnya melemahkan kes pendakwaan.

“Oleh itu, kuasa digunakan untuk tidak meneruskan pendakwaan kerana keadaan dan fakta kes telah berubah.

“Siasatan yang dijalankan adalah komprehensif. Ketika pertuduhan terhadap Ahmad Zahid
difailkan sebelum ini, terdapat beberapa kekurangan dalam siasatan pada peringkat awal.

“Persoalan mengenai prima facie dikaji semula kerana fakta-fakta baharu telah diteliti semula. Keadaan ini menjadikan kes tersebut tidak lagi diteruskan. Namun demikian, keputusan hakim
berhubung kewujudan prima facie tetap dihormati,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga kes-kes lain apabila tertuduh telah dipanggil membela diri dan disabitkan di Mahkamah Tinggi, namun apabila dibawa ke Mahkamah Rayuan, mahkamah
menilai semula keseluruhan kes dan mendapati terdapat keperluan untuk mengurangkan hukuman.

“Situasi sebegini bukan sesuatu yang luar biasa dalam proses kehakiman.Oleh itu, pandangan keputusan ini dibuat secara suka-suka adalah tidak tepat. Keputusan yang diambil adalah berdasarkan undang-undang, fakta kes dan tidak memungkinkan kes diteruskan kerana kes dilute (kes lemah),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |