Agong perkenan pelantikan empat jawatan utama ATM

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan beberapa pegawai kanan bagi mengisi empat jawatan utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, perkenan tersebut diberikan pada Ahad lalu selepas Baginda menimbang syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-632 yang bersidang pada 7 Januari 2026.

Menurut kenyataan itu, pelantikan berkenaan melibatkan jawatan Ketua Staf Markas ATM, Panglima Angkatan Bersama, Timbalan Panglima Tentera Darat serta Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS).

“Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri dilantik sebagai Ketua Staf Markas ATM, manakala Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pula dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama.

“Sementara itu, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral sebelum dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat, manakala Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin pula dilantik sebagai serta Ketua Eksekutif MiDAS.

“Kesemua pelantikan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pertahanan berkata, integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara.

“Dalam konteks ini, kepimpinan utama ATM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi, malah memikul amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara tanpa kompromi,” katanya.

Ujarnya, barisan kepimpinan baharu berkenaan diyakini mampu memikul amanah besar serta berkeupayaan memberikan khidmat dengan penuh wibawa, integriti dan profesionalisme demi keselamatan serta kedaulatan negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |