NAMA penyanyi Aina Abdul bukan lagi sinonim dengan vokal luar biasa, malah keberanian bereksperimen dalam muzik serta penampilan pentas sering mencuri perhatian.
Pun begitu, di sebalik imej artistik dan aura bintang dimilikinya, tersimpan kisah perjalanan emosi yang tersimpan kemas. Setiap kejayaan hadir bersama harga perlu dibayar.
Dalam dunia hiburan serba terbuka, setiap langkah diperhati, setiap keputusan mudah diperdebatkan dan pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani itu tidak terkecuali daripada gelombang tersebut.
Bukan tidak pernah rebah, malah beribu kali gugur air mata, namun wanita berusia 32 tahun itu memilih untuk memasakkan semangat dalam jiwa selain kembali mengingat tujuan asal melangkah ke dalam dunia seni.
Paling menguatkan jiwanya ialah dorongan serta doa seorang ibu, Zaini Abdullah, insan paling setia berdiri di belakang perjalanan kariernya sejak hari pertama menjejakkan kaki dalam industri.
“Setiap manusia ada saat rapuh. Saya juga tidak terkecuali. Ada waktu saya terasa sangat penat dengan segala kecaman atau kata-kata orang.
“Kadang-kadang air mata juga gugur kerana kita manusia biasa.
“Tetapi setiap kali hati terasa lemah, saya akan ingat semula niat awal masuk industri.
“Saya datang bukan sekadar mahu dikenali, tetapi mahu berkarya dan menyampaikan sesuatu melalui muzik. Itu membuatkan saya kembali bangkit,” katanya kepada HibGlam.
MEMAHAMI hakikat waktu akan bergulir, Aina mengakui pernah termenung membayangkan bagaimana kehidupannya tanpa susuk ibu di sisi.Andai ibu tiada
Beberapa hari selepas Syawal berlalu, pelantun lagu Sesaat itu mengakui dirinya pernah termenung lama menatap wajah ibunya.
Dalam detik sunyi itu, terlintas di benaknya betapa kosong hidupnya andai suatu hari nanti insan paling disayangi itu tiada di sisi.
“Kadang-kadang saya duduk lama memandang wajah ibu. Dalam hati saya terfikir, bagaimana agaknya hidup saya jika suatu hari nanti dia sudah tiada.
“Perasaan itu buat saya sedar betapa besarnya peranan seorang ibu dalam hidup saya.
“Dialah tempat saya pulang setiap kali dunia terasa berat. Jadi setiap detik bersama ibu sangat saya hargai,” ujarnya.
Bagi pemenang Lagu Terbaik Anugerah di Industri Muzik ke-24 (AIM24) itu, ibunya bukan hanya penyokong setia, malah turut memainkan peranan besar dalam perjalanan seni termasuk membantu dalam penghasilan lirik lagu.
“Ibu sangat memahami jiwa seni saya. Ada kalanya kami duduk berbual tentang idea lagu atau lirik. Kadang-kadang pandangan ibu membuka perspektif baharu buat saya sebagai penulis lagu.
“Dia bukan sahaja ibu, tetapi juga teman berbincang dan penyokong paling kuat dalam perjalanan seni ini. Tanpa doa serta sokongan dia, saya mungkin tidak berada di tahap sekarang,” luahnya
Justeru, dengan kejayaan diraih hari ini, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu berazam untuk membalas jasa wanita tersebut sebaik mungkin.
“Segala kejayaan saya sebenarnya milik ibu juga. Dia sudah berkorban banyak perkara untuk melihat saya sampai ke tahap ini. Dia dan arwah abah yang menolak saya sejak awal dalam bidang nyanyian.
“Sebab itu saya selalu berdoa agar diberi kesempatan membahagiakan ibu. Apa sahaja impian atau keinginan dia, saya mahu tunaikan kerana bagi saya dia layak diratukan,” tuturnya.
AINA kini sedang sibuk menyiapkan beberapa material baharu, malah sudah berada di peringkat akhir selain menunggu waktu sesuai untuk dilancarkan.Fokus hasilkan material
Dalam perkembangan lain, pemenang Anugerah Diva Terulung KNKV Viral Award (2024) itu kini sedang sibuk menyiapkan beberapa material baharu sebagai persediaan karya akan datang.
Katanya, sebahagian projek sudah berada di peringkat akhir dan hanya menunggu waktu sesuai untuk dilancarkan.
“Sekarang saya sedang menyiapkan beberapa material baharu. Ada projek sudah hampir siap, cuma saya masih mencari masa paling sesuai untuk melancarkannya.
“Saya mahu setiap karya keluar pada waktu tepat supaya pendengar dapat menikmatinya dengan lebih bermakna,” jelasnya.
Selain itu, Aina turut mencuri perhatian apabila melancarkan lagu raya ciptaannya sendiri berjudul Ya Habibi Ya Aidilfitri. Lagu berentak Arab itu mendapat sambutan hangat sejak dilancarkan pada 18 Mac lalu dan sekali lagi membuktikan kreativiti Aina sebagai penyanyi serta komposer.

10 hours ago
6
![[VIDEO] Suami beli baju ‘ala hospital’ demi sedondon dengan isteri di hospital](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-28-at-4.51.14-PM.jpeg)

















![[VIDEO] Budak-budak serbu datang beraya dekat balai polis](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-27-at-14.37.13.jpeg)




























