Aceh dilanda banjir lagi, air naik setinggi 2 meter

2 hours ago 1

JAKARTA – Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Pidie Jaya, wilayah Aceh sekali lagi dilanda banjir dengan air setinggi 2 meter menenggelamkan rumah-rumah penduduk yang masih digenangi lumpur, lapor laman berita Kompas. 

Wakil Datuk Bandar Pidie Jaya, Hasan Basri berkata, hujan lebat sejak semalam menyebabkan Sungai Meureudu melimpah dan menjejaskan 19 kawasan perkampungan di tiga daerah iaitu Meurah Dua, Meureudu dan Bandar Dua.

“Di daerah Meurah Dua, air mengenangi beberapa kawasan kampung termasuk Desa Dayah Husen, Mancang, Dayah Kruet, Meunasah Raya, Blang Cut, Buangan dan Beuringen. 

“Kawasan yang terjejas di daerah Meureudu adalah Desa Berawan, Meunasah Lhok, Grong-grong Beracan dan Desa Masjid Tuha-Lhokga.

“Di Daerah Bandar Dua, air membanjiri Desa Juelanga, Alue Keutapang, Paya Pisang Klat, Alue Mee, Babah Krueng, Blang Kuta, Drien Tujoh, dan Alue Sane,” kata Hasan semalam.

Penduduk tempatan dikenali sebagai Nasruddin mengesahkan banjir telah kembali menenggelamkan kediaman penduduk.

“Pada masa ini, penduduk semakin berwaspada dan intensiti hujan semakin meningkat. Banjir kembali menenggelamkan kediaman penduduk susulan hujan lebat yang masih belum berhenti,” katanya.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Pidie Jaya, Muhammad Nur berkata, paras air mencapai antara 1 meter sehingga 2 meter dan hampir kesemua lapan daerah dilaporkan terjejas. 

“Pusat pemindahan sementara masih selamat kerana kebanyakannya terletak di kawasan lebih tinggi. 

“Masyarakat selamat dan tidak panik kerana kita telah memberi amaran terlebih dahulu. Kami menggesa penduduk supaya segera berpindah ke tempat lebih selamat jika bencana banjir semakin teruk,” kata Muhammad. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |