ACC2026: Izzah sambar tiket separuh akhir acara pecut

2 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Atlet berbasikal trek sensasi negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri terus menggalas misi memburu gelaran pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 apabila mara ke separuh akhir acara pecut elit individu wanita.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Velodrom Tagaytay City, Filipina sebentar tadi, pemenang pingat gangsa tahun lalu itu menampilkan aksi dominan apabila menewaskan rakan sepasukan, Nur Alyssa Mohd. Farid 2-0.

Dalam dua perlumbaan suku akhir itu, Izzah mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menamatkan perlumbaan pertama menerusi catatan masa 11.160 saat (s) manakala aksi kedua dengan catatan 11.159s.

Kemenangan itu sekali gus memberikan harapan buat skuad elit negara bagi memburu pingat emas pertama pada kejohanan tersebut apabila hanya mengutip satu pingat perak ketika ini menerusi acara pecut berpasukan wanita.

Menjelang aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung esok, pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu dijangka berdepan cabaran sukar apabila bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan dari Jepun, Mina Sato.

Pada saingan musim lalu, Izzah memastikan pingat gangsa menjadi miliknya dalam acara pecut selepas mengetepikan cabaran pelumba China, Bao Shanju ketika aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, harapan Malaysia dalam acara pecut elit individu lelaki berkecai apabila Muhammad Ridwan Sahrom gagal melepasi pusingan 1/8 selepas tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 dari Thailand, Jai Angsuthasawit.

Kekalahan itu menyebabkan dia gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tahun lalu di mana dia menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas kepada abangnya, Muhamad Shah Firdaus pada aksi penentuan pingat gangsa.

Dalam perkembangan sama, skuad remaja terus mempamerkan aksi konsisten pada ACC 2026 apabila Muhammad Eirzam Eidham Che Mazri menyumbang pingat perak buat pasukan negara dalam aksi final acara keirin remaja lelaki. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |