WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas sebuah bot yang didakwa membawa dadah di perairan luar pantai Venezuela, menyebabkan enam orang terbunuh, lapor portal berita MailOnline semalam.
Presiden Donald Trump mendedahkan serangan itu di platform media sosialnya, Truth Social dengan menyatakan bahawa Setiausaha Perang Amerika, Pete Hegseth telah mengarahkan serangan tersebut.
Katanya, serangan tersebut dilakukan terhadap sebuah bot milik kumpulan pengganas dadah, manakala Hegseth mengarahkan operasi maut itu dengan kebenarannya.
Perisikan Amerika mengesahkan bahawa bot tersebut sedang menyeludup dadah untuk sebuah rangkaian pengganas dadah yang tidak dinamakan.
“Serangan itu dijalankan di perairan antarabangsa, manakala enam lelaki ‘pengganas dadah’ di atas bot terbabit terbunuh dalam serangan tersebut.
“Tiada anggota tentera AS yang cedera. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini,” tulis Trump kepada pengikutnya di Truth Social.
Serangan tersebut dilakukan selepas Venezuela memberi amaran bahawa tentera AS sedang bersiap sedia untuk melakukan pencerobohan berskala penuh ke atas negara Amerika Selatan itu.
Sebelum ini, Duta Venezuela ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Samuel Moncada mengadakan mesyuarat tergempar dengan Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat lalu.
Beliau memberi amaran bahawa serangan AS terhadap bot-botnya adalah langkah pertama sebelum pencerobohan berlaku.
“Tindakan dan retorik agresif kerajaan AS secara objektif menunjukkan bahawa kami sedang berdepan situasi di mana secara rasionalnya dalam masa terdekat, satu serangan bersenjata dijangka dilancarkan terhadap Venezuela,” ujarnya.
Serangan udara terbaharu itu merupakan serangan kelima yang disasarkan ke atas bot-bot yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah milik Venezuela di Laut Caribbean. – AGENSI