58 laporan berkaitan skim pelaburan mesin layan diri diterima JSJK

22 hours ago 7

PETALING JAYA – Sebanyak 58 laporan berkaitan skim pelaburan mesin layan diri membabitkan kerugian lebih RM6.78 juta telah diterima pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Mengesahkan perkara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, skim pelaburan terbabit dianjurkan oleh sebuah syarikat.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, syarikat tersebut telah menawarkan beberapa pakej pelaburan dengan keuntungan berbeza mengikut pakej yang disertai.

“Bagaimanapun, keuntungan yang dijanjikan kemudiannya gagal dibayar dan kebanyakan pelabur didapati tidak mengetahui sama ada mesin layan diri yang didakwa oleh penganjur benar-benar wujud atau sebaliknya.

“Siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, keputusan menyertai mana-mana skim pelaburan khusunya pelaburan berkaitan perkongsian perniagaan seperti mesin layan diri ini hendaklah dibuat dengan berhati-hati.

Malah katanya, orang ramai perlu melakukan semakan tentang kewujudan mesin yang didakwa, sahkan lokasi mesin tersebut diletakkan.

“Sebaiknya terlibatlah secara langsung dalam perniagaan tersebut dan tidak hanya meletakkan kepercayaan kepada pihak ketiga yang tidak dikenali.

“Seandainya, berlaku kejadian di luar jangka seperti penipuan, individu yang terkesan boleh membuat aduan kepada agensi penguatkuasa berkaitan seperti PDRM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan juga Bank Negara Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, media semalam melaporkan, seramai 54 orang dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan pembelian mesin layan diri dengan kerugian mencecah RM5.2 juta.

Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata mangsa pelaburan dari seluruh negara sudah membuat laporan polis dan aduan kepada pihaknya.

Menurutnya, syarikat berpangkalan di Johor itu dikatakan mempunyai cawangan di Selangor, Melaka dan Pulau Pinang yang dikesan mengiklankan skim pelaburan mesin layan diri snek dan minuman melalui pelbagai platform termasuk media sosial. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |