YAN – Jabatan Perikanan telah melabuhkan sebanyak 570 unit tukun tiruan di perairan Kedah membabitkan peruntukan RM10.52 juta sejak 2006.
Pengarah Perikanan negeri, Sukri Deris berkata, usaha terbaharu dilakukan semalam apabila sebanyak 12 unit tukun jenis dasar lembut penghalang pukat tunda rekreasi dengan kos RM379,080 dilabuhkan di perairan Pulau Telor, di sini.
“Pembangunan tukun tiruan ini adalah sebahagian usaha kerajaan melalui Jabatan Perikanan bagi meningkatkan sumber perikanan termasuk ikan bernilai tinggi serta mencegah pencerobohan nelayan pukat tunda.
“Ia juga dapat mengurangkan konflik antara nelayan tradisional dan komersial selain meningkatkan peluang nelayan berskala kecil untuk menambah pendapatan daripada hasil tangkapan,” katanya.
Beliau berkata, antara lokasi tukun tiruan yang telah dilabuhkan adalah Pulau Payar, Kuala Teriang, perairan Yan, Kuala Sala, Kuala Kuar, Kuala Jerlun, Kuala Chenang, Pulau Tuba dan Pasir Hitam.
Menurutnya, usaha melabuhkan tukun menjadi salah satu kaedah bagi meningkatkan semula stok ikan di negeri ini, yang merekodkan penurunan daripada 141,312 tan metrik pada 2023 kepada 104,314 tan metrik pada tahun lalu.
Katanya, penurunan jumlah pendaratan ikan itu boleh dipengaruhi pelbagai faktor termasuk pengkalan pendaratan dan pemindahan lesen bot nelayan ke negeri lain.
Beliau menjelaskan, pergerakan ikan pelagik seperti kembung dan tenggiri yang bersifat bermusim juga menyebabkan jumlah pendaratan ikan jenis itu turun naik.
Tambahnya, tukun dasar lembut penghalang pukat tunda rekreasi mampu menghalang pencerobohan bot pukat tunda kerana bot berisiko rosak atau tenggelam sekiranya cuba menarik jaring yang tersangkut pada struktur tukun.
“Setiap tukun bersaiz 3.8 meter tinggi dan tiga meter lebar dengan berat 40 tan. Di kawasan tukun ini, pemancing dibenarkan memancing menggunakan peralatan pancing sahaja,” jelasnya.
Polisi pembinaan tukun tiruan adalah untuk tujuan konservasi dan rekreasi, di mana aktiviti menangkap ikan hanya dibenarkan menggunakan peralatan pancing di tapak tukun rekreasi. – KOSMO! ONLINE