SEPANG – Seramai 18 atlet negara yang menggalas cabaran di Sukan SEA Thailand tidak terlepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kesemua mereka akan mengambil peperiksaan itu selepas berakhirnya temasya dwitahunan tersebut.
Temasya Sukan SEA Thailand edisi ke-33 tersebut akan membuka tirai dari 9 hingga 20 Disember ini, manakala peperiksaan SPM dijadualkan bermula lebih awal, iaitu dari 3 November hingga 23 Disember, sekali gus mencetuskan kebimbangan kerana tarikh kedua-dua acara bertindih.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu adalah hasil kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN, dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menjamin masa depan atlet muda negara.
“Sukan SEA akan berlangsung di Thailand pada bulan Disember dan setakat ini kita ada 17 calon sekolah kerajaan serta seorang calon persendirian.
“MSN berbincang dengan KPM dan mencapai persetujuan supaya peperiksaan SPM dijalankan di MSN selepas mereka pulang daripada pertandingan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis memperkenalkan pasukan dan jentera yang akan dipacu Hakim Danish Ramli pada Grand Prix Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib 18 atlet yang bakal menduduki SPM ekoran jadual peperiksaan itu bertembung dengan temasya tersebut.
Menurut Hannah, KPM bersetuju untuk menyediakan kertas peperiksaan khas bagi 17 calon daripada sekolah kerajaan, manakala seorang calon persendirian perlu mengemukakan permohonan terus kepada Lembaga Peperiksaan untuk penyelarasan lanjut.
“KBS mahu pastikan semua 18 atlet ini mendapat peluang menduduki SPM. Mereka bukan membazirkan masa, sebaliknya bertanding membawa nama Malaysia. Jadi, kita akan bantu mereka sebaik mungkin.
“Atlet-atlet ini ini bukan membazirkan masa, tetapi, sebaliknya mereka pergi untuk bertanding bagi mewakili Malaysia, jadi, kita hendak pastikan tiada seorang atlet pun yang akan terlepas daripada peluang menduduki SPM,” katanya. -KOSMO! ONLINE