JASIN – Taktik licik sekumpulan 13 individu menyamar sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) Berhad bagi mencuri kabel di kawasan perindustrian Merlimau dekat sini terbongkar selepas kesemua mereka diberkas polis, kelmarin.
Kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 47 tahun itu dicekup kira-kira pukul 6 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod Jenayah (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang sibuk memotong kabel dari dalam lubang utiliti (manhole) sambil memakai vest keselamatan TM bagi mengelirukan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen atau surat kebenaran kerja daripada syarikat telekomunikasi berkenaan, sebaliknya mempunyai kad pekerja TM Berhad yang kemudiannya didapati palsu.
“Kumpulan ini menggunakan peralatan lengkap seperti pemotong kabel, gergaji dan kenderaan bagi melancarkan aktiviti tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, hari ini.
Tambahnya, operasi tangkapan tersebut turut dibantu pasukan kereta peronda (MPV) IPD Jasin, pasukan khas Balai Polis Merlimau serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Jasin.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua suspek terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita yang berasal dari Melaka, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor.
“Ujian saringan air kencing mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan rekod menunjukkan empat individu mempunyai rekod jenayah serta dadah lampau.
“Kegiatan kumpulan ini dipercayai telah menyebabkan kerugian dianggarkan antara RM50,000 hingga RM60,000 kepada syarikat telekomunikasi terlibat,” ujarnya.
Katanya, kumpulan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di sekitar daerah Jasin dan kawasan berhampiran sejak beberapa minggu lalu.
Ujarnya lagi, polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan dalam aktiviti berkenaan termasuk sebuah jengkaut, lima kenderaan, baju kali cahaya, mesin penyedut air dan generator elektrik yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – KOSMO! ONLINE