119 projek sekolah baharu, tambahan bangunan babit kos RM90 juta

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Sebanyak 119 projek pembinaan sekolah dan tambahan bangunan sekolah telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melalui Rolling Plan 5 (RP5) melibatkan kos hampir RM90 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan hasil kerjasama erat antara Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pendidikan dalam usaha menangani isu kepadatan murid di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 53 projek telah disiapkan dan sesi penyerahannya telahpun saya sempurnakan pada hari ini bertempat di kompleks sekolah baru, Sekolah Presint 15, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, di Kuala Langat Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut beliau, KPM telah mengenal pasti enam negeri yang berhadapan dengan isu sekolah berkepadatan tinggi iaitu Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak.

Dalam hantaran itu juga, Alexander berkata, projek Sekolah Presint 15 siap 45 hari lebih awal daripada jadual asal, bukti kecekapan dan dedikasi warga Jabatan Kerja Raya dalam melaksanakan amanah rakyat.

“Dilengkapi sekolah rendah, sekolah menengah, dewan, surau dan kemudahan lengkap, projek ini dibina menggunakan teknologi BIM (LOD500) dan Sistem IBS BubbleDeck yang menjimatkan masa serta mesra alam.,” ujarnya.

“Manakala Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2 pula mencatat sejarah dengan pembinaan tiga bilik darjah beserta skop laluan berbumbung telah berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan dan pembinaan lima bilik darjah beserta laluan berbumbung disiapkan kurang dari tiga bulan,” jelasnya.

Tambahnya, dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menangani masalah sekolah berkepadatan tinggi.

Katanya, manakala RM50 juta lagi bagi membina dewan serbaguna terbuka di bawah RMK-13 fasa pertama.

“Pelaksanaan projek-projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam mempertingkatkan kualiti pembelajaran bagi melahirkan generasi pemimpin masa hadapan.” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |