1,408 mesin lombong bitcoin RM1.6 juta dilupus

5 hours ago 2

ALOR SETAR – Polis Kedah melupuskan sebanyak 1,408 unit mesin perlombongan bitcoin bernilai kira-kira RM1.6 juta yang dirampas dari 2021 hingga tahun ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pelupusan tersebut dilaksanakan selepas semua kes melibatkan 34 kertas siasatan itu selesai proses perundangan serta mendapat perintah daripada mahkamah.

Kata beliau, rampasan mesin bitcoin berkenaan melibatkan lima daerah iaitu Kuala Muda sebanyak 683 unit, Kota Setar (324), Kulim (279), Pendang (77) dan Yan (45).

“Kegiatan perlombongan bitcoin secara haram masih menggunakan kaedah sama iaitu membuat penyambungan elektrik secara tidak sah bagi mengelakkan pembayaran bil elektrik.

“Mereka biasanya menempatkan antara 80 hingga 100 mesin di satu premis dan beroperasi selama 24 jam tanpa henti. Mesin ini menghasilkan haba yang tinggi menyebabkan mereka perlu menggunakan pendingin hawa,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Mesin Bitcoin di sini hari ini.

Menurutnya, kegiatan tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Tenaga Nasional Berhad, malah meningkatkan risiko kebakaran, letupan, litar pintas serta gangguan bekalan elektrik kepada pengguna lain.

“Di peringkat nasional, kerajaan memaklumkan bahawa negara menanggung kerugian dianggarkan hampir RM700 juta setahun akibat kecurian bekalan elektrik yang dikaitkan dengan kegiatan perlombongan bitcoin secara haram,” ujarnya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengesan petunjuk seperti premis yang mencurigakan atau kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Kalau ada premis yang sentiasa tertutup tetapi berlaku pergerakan mencurigakan atau kekerapan bekalan elektrik terputus, masyarakat boleh menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Maklumat daripada komuniti amat membantu kerana kegiatan ini boleh berlaku di mana-mana lokasi termasuk kawasan kampung yang dirasakan selamat oleh sindiket,” tambahnya.

Kes-kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990, Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |