PETALING JAYA – Pihak pembelaan menghujahkan keterangan Ismanira Abdul Manaf yang juga ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin sebagai bukannya satu penafian kosong semasa wanita itu membela diri di Mahkamah Sesyen di sini.
Malah, keterangan menunjukkan apa yang dikatakan Ismanira adalah konsisten selain tidak membuat fikiran terkemudian (afterthought) semasa memberi penjelasan.
Dalam penghujahan bertulis diperolehi pihak media yang difailkan oleh Tetuan Haresh Mahadevan & Co. pada 18 September lalu, pihak pembelaan turut menghujahkan pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan terhadap Ismanira dan pembelaan tertuduh telah menimbulkan keraguan yang munasabah.
“Keterangan saksi pembelaan kelima (SD5) iaitu seorang pakar tidak pernah di rebut oleh pendakwaan dan keterangannya adalah kekal bahawa tertuduh (Ismanira) tidak mengabaikan arwah yang mana perbuatan tersebut bukannya satu pengabaian.
“Dengan keterangan ini timbul satu keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaaan. Pada masa sama keterangan tertuduh turut disokong oleh saksi pembelaan kedua, ketiga dan kelima (SD2, SD3, dan SD5) dan konsisten walaupun disoal balas secara terperinci oleh pihak pendakwaan,” kata hujahan bertulis tersebut.
Hujahan lanjut turut menyatakan, soal balas daripada pihak pendakwaan sendiri ke atas tertuduh telah menimbulkan naratif yang berbeza semasa kes pendakwaan iaitu berkenaan dengan tertuduh telah membiarkan arwah seorang diri bermain buaian dan tertuduh naik ke rumah seorang yang bertentangan dengan keterangan saksi pendakwaan ke-28 (SP28).
Sementara itu, pihak pembelaan turut menghujahkan sebahagian naratif yang timbul dalam perbicaraan ini kelihatan dipengaruhi oleh pandangan dan spekulasi orang awam sebagaimana yang boleh dilihat dalam kes Zara Qairina.
“Justeru mahkamah hendaklah berhati-hati agar tidak terperangkap dengan naratif sedemikian kerana keputusan hanya boleh dibuat berasaskan keterangan yang sah serta diterima masuk di hadapan mahkamah dan bukannya berdasarkan kepada sentimen orang awam atau netizen,” tambah hujahan bertulis itu.
Pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadap Ismanira manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap suami Ismanira, Zaim Ikhwan.
Hakim Syahliza menetapkan 31 Oktober ini bagi memutuskan sama ada tertuduh Ismanira akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan daripada pertuduhan diakhir pembelaan kesnya.
Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira, 30, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – KOSMO! ONLINE