Wartawan jenayah Kosmo! kini bergelar pegawai polis

1 week ago 10

KUALA LUMPUR – Siapa sangka, individu yang dahulu ditugaskan untuk melaporkan peristiwa jenayah dan bencana kini menjadi sebahagian daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Itulah perjalanan seorang bekas wartawan jenayah Kosmo!, Inspektor Percubaan Nur Azmi Nordin, 26, yang kini bergelar pegawai polis selepas lebih dua tahun memburu berita di lapangan.

Menurut Nur Azmi yang berasal dari Ipoh, Perak, pengalaman berdepan pelbagai kes jenayah dan melihat sendiri kecekalan anggota polis ketika bertugas menjadi pencetus semangat untuknya menyertai pasukan keselamatan itu.

“Sebenarnya, tak pernah terniat pun untuk masuk PDRM tapi selepas mula bekerja sebagai wartawan di Media Mulia, Kosmo! dan ditempatkan di meja jenayah, saya berpeluang mengikuti operasi penguat kuasa yang banyak membuka mata saya.

“Selain itu, apa yang menggerakkan hati dan membuatkan minat lebih mendalam kepada PDRM apabila melihat sendiri ketekunan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Yusof yang sering memberikan peringatan kepada orang awam tentang pencegahan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata, dia berharap dapat ditugaskan sebagai pegawai penyiasat dalam bahagian jenayah terutama D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) di Kuala Lumpur.

“Meskipun ramai yang kata cabarannya sangat tinggi, tapi saya rasa cabaran itu yang saya perlukan untuk terus menjadi pegawai polis yang mantap, yang sedia untuk berkhidmat kepada masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, Inspektor Percubaan Mahira Alias, 40, yang berasal dari Lenggong, Perak tidak menyangka apabila dinobatkan sebagai pelatih terbaik secara keseluruhan.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia membuat permohonan kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) PDRM selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2022.

“Alhamdulillah rezeki memihak kepada saya walaupun selepas setahun memohon dan menjadi penguat semangat kepada saya untuk lebih terus maju adalah suami saya sendiri dan keluarga yang menjadi tulang belakang saya selama sembilan bulan saya di sini.

“Saya rasa sangat bersyukur dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan. Sasaran saya adalah untuk terus lebih maju dalam pasukan, berkhidmat dengan lebih cemerlang serta menjaga integriti dalam pasukan,” jelasnya.

Terdahulu, istiadat berkenaan meraikan seramai 345 Inspektor Percubaan yang berjaya menamatkan program latihan asas kepolisan selama sembilan bulan di Pulapol. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |