[VIDEO] Ratu Nur Puteri Ratu Balqis mengaku dirinya Nabi Muhammad

10 hours ago 6

JOHOR BAHRU – Seorang wanita menggelarkan dirinya Ratu Nur Puteri Ratu Balqis dan mendakwa ‘dipinjamkan badan’ oleh malaikat’ mengakui dirinya dahulu Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd Khalid berkata, pengakuan itu bersama beberapa dakwaan lain dibuat menerusi beberapa klip video hingga tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

Katanya, klip video yang tersebar itu mengandungi ajaran yang menyimpang dan mengelirukan.

“Individu yang menggelarkan dirinya Ratu Nur Putri Ratu Balqis turut mendakwa dia sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’.

“Individu tersebut turut mengeluarkan kenyataan mempersendakan kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, terdapat aduan berhubung penyebaran ajaran God, The Mother yang didakwa sesat melalui edaran bercetak kepada orang awam di sebuah pusat beli-belah di Kulai pada 26 Mac lalu.

Justeru, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melalui Mesyuarat Penuh MAINJ Kali Ke-293 hari ini menegaskan sebarang ajaran yang menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Asya’irah dan Al-Maturidiah wajib dibanteras.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan susulan Mesyuarat Membanteras Ajaran Menyimpang pada 30 Mac lalu. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298, 500, 505(b) Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan sebarang fahaman dan ajaran yang menyimpang, sebaliknya melaporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya.

Semalam polis membuka kertas siasatan berhubung hantaran video yang didakwa mengandungi unsur fitnah, penghinaan dan dakwaan tidak berasas terhadap Institusi Diraja Johor, pihak berkuasa dan agama Islam.

Mohd Fared berkata, hantaran tersebut berpotensi menjejaskan akidah umat Islam dan mengganggu ketenteraman awam. Sebelum itu, seorang wanita mendakwa dirinya dipinjamkan badan oleh malaikat dan mempunyai pertalian dengan Nabi Muhammad SAW.

Sebuah akaun TikTok memaparkan beberapa video menunjukkan wanita tersebut membuat kenyataan mengandungi unsur bertentangan dengan ajaran Islam.

Salah satu video itu memaparkan wanita tersebut didakwa menjunjung al-Quran sambil mendakwa dirinya anak Adam dan Hawa kononnya telah dihidupkan kembali.

Terdapat video menunjukkan wanita tersebut mengakui kononnya merupakan guru kepada keluarga diraja.-KOSMO! ONLINE

@ratunurputriratubalqis♬ original sound – Ratu Nur Putri Ratu Balqis
Read Entire Article
Pertanian | | | |