PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita dipercayai warga asing yang terjun dari tingkat atas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencetuskan kekecohan dan perhatian ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.
Menerusi beberapa perkongsian di platform Threads, kejadian dipercayai berlaku di ruang balai pelepasan lapangan terbang tersebut sebelum orang ramai dilihat berkumpul di lokasi kejadian.
Seorang pengguna media sosial mendakwa wanita terbabit dikatakan melompat dari aras atas sebelum masih mampu bangun dan berjalan dalam keadaan berpusing-pusing.
“Kalau kita mahu patah kaki ataupun terkehel,” tulis pengguna tersebut sambil menggambarkan keadaan wanita berkenaan selepas kejadian.
Dalam pada itu, seorang lagi individu yang mendakwa berada di lokasi memaklumkan wanita terbabit dipercayai warga China dan bertindak sedemikian kerana mahu pulang ke negara asal, namun tidak memiliki pas masuk penerbangan (boarding pass).
“Untuk pengetahuan semua, wanita China ini lompat dari atas sebab nak balik China, tapi dia tak ada pas masuk. Saya ada dalam video ini dan nampak dari bawah,” katanya pada ruangan komen.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai pengguna media sosial meluahkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan selain mempersoalkan tindakan berbahaya tersebut yang boleh mengancam keselamatan orang awam lain di kawasan lapangan terbang.
“Hampir setiap hari ada je pelancong-pelancong ni buat perangai. Penat betul kerja imigresen,” komen Tisya.
“Kena perketatkan lagi peraturan untuk deme (mereka) ni. Mentang-mentang polis bantuan kita ni semua jenis baik lagi. Kalau kat luar negara dah kena berkasar dah,” komen Yunus.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak KLIA mahupun polis berhubung kejadian tersebut.- KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2















































