[VIDEO] ‘Dua jam selepas pujian itu suami pergi’

5 hours ago 4

PETALING JAYA – “Awak comel sangat, teramat comel…” itulah kata-kata terakhir yang sempat diungkapkan Allahyarham Jamil Khair Ahmad Rashidi, 63, kepada isteri tercinta, Zaini Nuruddin, 63, dua jam sebelum dijemput Ilahi pada petang 31 Disember lalu.

Perkongsian anak bongsu mereka, Muhammad Isyraf Jamil Khair, 24, menceritakan detik menyentuh hati itu berlaku ketika ayahnya baru pulang sekitar pukul 12 tengah hari dan mene­mani ibunya menyidai kain.

Walaupun berada di kawasan terbuka, pemuda itu memaklumkan ibunya tetap memeluk arwah suaminya sejurus ayahnya memuji kecantikan wanita itu, walaupun sempat berseloroh malu takut diperhatikan jiran.

“Sebak dan sedih sangat rasa apabila mengimbas kembali detik itu. Mak ada cakap, sejak lima bulan terakhir ini ayah memang selalu puji mak, tak kira masa. Pergi surau waktu subuh berpegang tangan, macam orang baru bercinta. Nak pegi mana-mana pun sama-sama, walaupun pegi dapur makan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Muhammad Isyraf mengakui langsung tidak menyangka bahawa itu adalah perpisahan ter­akhir mereka dan adegan manis ibu bapanya turut dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah.

“Selalu ayah ke surau untuk zuhur berjemaah, cuma hari itu ayah tak larat. Ayah masuk rumah sempat jamah makanan sedikit dan ayah ada tanya sekarang pukul berapa, dan waktu tu sekitar 2 petang lebih, ayah ke bilik untuk rehat, nafas ayah tiba-tiba bunyi kuat, saya dan mak cuba kejut ayah dan buat CPR (bantuan pernafasan) sambil menghubungi pihak hospital.

“Tapi masa itu ayah tak beri tindak balas. 20 minit kemudian ambulans sampai buat pemeriksaan dan buat CPR sekali lagi, tetap sama. Ayah disahkan me­ninggal pukul 2.50 petang akibat sakit tua. Ayah ada kencing manis, tapi terkawal. Ayah pergi dengan sangat tenang dan se­nang, tidak menyusahkan kami semua,” tambahnya.

“Syukur ibu sangat tabah setelah pemergian ayah,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |