PETALING JAYA – “Selain saya, terdapat enam lagi rakan saya yang memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Doakan mereka juga.”
Itu antara perkongsian pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Fakhrul Iman Zainudin, 18, menerusi sebuah video yang dimuat naiknya di platform TikTok hari ini.
Dalam rakaman berdurasi lebih dua minit yang dikongsikan, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson itu memulakan ucapan dengan menzahirkan rasa syukur dan terharu atas sokongan orang ramai kerana tidak putus mendoakan kejayaannya.
“Pertama sekali, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua netizen yang sentiasa mendoakan dan memberi komen positif kepada saya. Saya sangat terharu dengan sokongan anda semua,” katanya.
Fakhrul Iman yang juga anak ketiga kepada pasangan peniaga pisang goreng, Zainudin Abdul Latif, 63, dan Zarina Sood, 54, turut mengucapkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang banyak memberi dorongan sepanjang perjalanan akademiknya.
Fakhrul Iman menjelaskan sekolahnya merupakan aliran agama yang menumpukan kepada pendidikan Syariah Islamiyah dan penghafalan al-Quran sejak tingkatan satu hingga lima.
“Sekolah kami tidak menawarkan mata pelajaran sains tulen seperti matematik tambahan, kimia atau biologi. Fokus kami adalah pada pendidikan agama dan penguasaan al-Quran,” katanya.
Fakhrul Iman turut menyuarakan rasa kesal kerana pencapaian rakan-rakannya yang turut cemerlang kadangkala terabai oleh perhatian netizen.
“Sekolah saya ini, sebenarnya ramai lagi yang cemerlang. Selain saya, ada enam lagi yang memperoleh 11A. Saya kesian kerana mereka jarang mendapat pengiktirafan sama seperti saya. Ramai yang pandai dan bijak, jadi saya mohon semua doakan kejayaan mereka juga,” ujarnya.
Video tersebut kini menerima ribuan tontonan dan komen daripada netizen yang rata-rata memuji sikap rendah diri Fakhrul Iman serta mendoakan kejayaan rakan-rakannya yang lain.
“Adik, upload (muat naik) je gambar dengan lagi enam orang yg dapat 11A kat sekolah tu nanti kami wish (beri ucapan) dekat komen post (hantaran) tu,” kata @fif.
“Adab A+, so (jadi) 12 A+ lah ni,” puji @hasya6588.
“Lain orang, lain rezekinya. Insya-Allah kawan-kawan yang lain juga ada rezeki yang tersendiri. Untuk kawan-kawan Fakhrul, semoga kalian juga direzekikan tawaran belajar yang bgus juga. Tahniah,” komen @Dee_Haruto. – KOSMO! ONLINE
@fakhruimnn Sedikit sebanyak perkongsian #foryou #spm2025 #b08 #batch08 ♬ Clarity Twilight – Troy Comal
2 hours ago
2



![[KEMAS KINI] Tiga sekeluarga maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/f0f989eb-d1fe-48e5-ba1a-2ecfc6d9ccdb.jpeg)











































