GEORGE TOWN – Video tular seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang berkongsi cerita mengenai buku yang dibacanya setebal 377 muka surat telah mendapat perhatian pengguna media sosial termasuk aktivis pendidikan, hari ini.
Murid dari Sekolah Kebangsaan Convent Kajang, Dhaneesha Francis Xavier itu dilihat begitu fasih berbahasa Inggeris ketika menceritakan pengalamannya menelaah buku bertajuk: Mega Monster menerusi video berdurasi 5 minit 55 saat.
Setiausaha Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, Fatin Nurshahfika Faizul Shah berkata, insiatif KPM dalam menganjurkan pertandingan bicara buku menerusi rakaman video berupaya meningkatkan keupayaan golongan kanak-kanak terutama di peringkat sekolah rendah dalam bidang seni penceritaan.
Menurutnya, usaha tersebut mampu memberi ruang kepada para pelajar untuk memahami lebih mendalam mengenai sesuatu bahan bacaan selain dapat mengasah bakat dalam bidang pengucapan awam.
“Perkongsian kandungan berbentuk video turut membuka peluang kepada murid mengetengahkan bakat yang terpendam di samping menarik minat rakan sebaya untuk mendekati budaya membaca.
“Inisiatif KKM ini juga dilihat sebagai usaha relevan dengan keperluan pembelajaran masa kini dan bukan sahaja membantu pelajar lebih berani bercakap, malah melatih mereka memahami kandungan buku dan menyampaikannya dengan cara tersendiri,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai video tular kanak-kanak kecil tersebut di media sosial, hari ini.
Dalam pada itu, Fatin turut menyeru semua ibu bapa agar memberi galakkan sepenuhnya kepada anak-anak kecil untuk melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dianjurkan KPM terutama di peringkat sekolah.
“Usaha ini mampu meningkatkan daya kreativiti si kecil sekali gus dapat membina sahsiah dan kemahiran komunikasi dengan lebih baik,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

12 hours ago
7

















































