PUTRAJAYA – Acara larian antarabangsa berprestij, TwinCity Marathon 2027 yang bakal diadakan di sini tahun depan menyasarkan penyertaan seramai 27,000 peserta dalam dan luar negara berbanding hanya 21,000 pelari pada edisi tahun ini.
Menurut Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn. Bhd., Mohd. Bukhari Ismail, sasaran baharu itu selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2027 dalam memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi acara antarabangsa, budaya, gaya hidup dan pelancongan utama di rantau Asia.
“Bagi edisi 2027, kami mahu membawa pengalaman yang lebih besar daripada sekadar acara larian.
“Kami mahu membina sebuah festival yang mampu menghubungkan sukan, seni budaya, teknologi, komuniti dan pelancongan dalam satu platform yang lebih moden, kreatif dan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Berdasarkan rekod penyertaan sebelum ini, acara tersebut berjaya menarik penyertaan pelari daripada lebih 30 negara termasuk Australia, Brunei, China, Jepun, Korea Selatan, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat, sekali gus membuktikan potensi sebagai platform sukan bertaraf antarabangsa.
Selain itu, acara itu turut akan dianjurkan bersama Twin Cultures Festival 2027 merupakan sebuah festival berskala besar yang mengetengahkan gabungan warisan budaya, seni kreatif, pengalaman gaya hidup moden serta teknologi kecerdasan buatan (AI).
Mohd. Bukhari berkata, gabungan kedua-dua platform itu dijangka mewujudkan sebuah ‘Festival Cultural Intelligence’ yang menghubungkan elemen larian, budaya, teknologi, pelancongan dan gaya hidup.
“Kami percaya gabungan TwinCity Marathon dan Twin Cultures Festival mampu menjadi sebuah acara menarik serta membuka peluang lebih besar kepada industri pelancongan, budaya, gaya hidup dan ekonomi kreatif.
“Jadi, kami menyasarkan lebih 150,000 pengunjung sepanjang festival selain penyertaan peserta dari lebih 30 negara, lebih 250 vendor serta anggaran impak ekonomi dan pelancongan melebihi RM40 juta,” katanya.
Susulan itu, katanya, pihaknya kini membuka peluang kerjasama strategik kepada syarikat korporat, agensi kerajaan, jenama antarabangsa, syarikat teknologi, automotif, perbankan dan beberapa lagi untuk jalinan kerjasama. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2
![[VIDEO] Pelancong wanita didakwa terjun tingkat atas KLIA cetus kekecohan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/KLIA-TULAR-VIRAL.jpeg)














































