KUALA LUMPUR – Sebahagian penumpang menggesa pihak Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Raild) supaya mengawal jumlah penumpang yang dibenarkan berada di dalam tren pada satu-satu masa, terutama ketika berlaku gangguan teknikal melibatkan transit aliran ringan (LRT).
Pengguna, Nur Athira berkata, keadaan dalam gerabak yang terlalu sesak bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah boleh mendatangkan bahaya kepada penumpang.
“Saya rasa Rapid KL (Rapid Rail) patut kawal kemasukan penumpang. Orang ramai tolak-menolak masuk dan keluar, sampai gerabak terlalu padat. Ia sangat berbahaya,” katanya menerusi satu hantaran di laman X.
Tambahnya, situasi itu juga boleh mencetuskan serangan panik dalam kalangan pengguna yang tidak selesa berada dalam ruang sempit tanpa pengudaraan mencukupi.
“Tolonglah Rapid KL, buat sesuatu sebelum ada yang cedera. Dalam keadaan sesak begini, orang boleh panik,” katanya lagi.
Wanita berkenaan turut berkongsi pengalaman terpaksa keluar dari tren di Stesen Asia Jaya kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk apabila tren menghampiri kawasan tengah bandar.
“Saya turun awal di Asia Jaya sebab saya tahu bila sampai ke KL (Kuala Lumpur) nanti, keadaan akan jadi lebih sesak dan berisiko,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna LRT meluahkan rasa kecewa apabila lebih 100 penumpang terpaksa menunggu hampir sejam di Stesen KL Sentral tanpa sebarang makluman lanjut daripada pihak pengurusan.
“Pekerja dekat LRT KL Sentral no instruction no notice (tiada arahan tiada maklumat). Orang ramai dalam keadaan tertanya-tanya untuk buat apa, dah 40 minit lebih apabila laluan Kelana Jaya ada masalah, tak ada ‘mitigation plan’ langsung ke?,” soalnya.
Terdahulu, beberapa pengguna media sosial turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kesesakan luar biasa di laluan LRT Kelana Jaya susulan gangguan operasi yang menyebabkan kelewatan dan penumpukan penumpang di beberapa stesen utama.
Rapid Rail dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, perkhidmatan LRT mengalami gangguan bekalan kuasa di landasan antara Stesen Universiti dan Stesen Abdullah Hukum pada masa ini.
Tambah syarikat pengendali itu, bagi memastikan penumpang dapat meneruskan perjalanan, perkhidmatan tren alternatif diaktifkan dari Stesen Taman Jaya dan Stesen Bangsar (Platform 2).
“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini berada di lokasi kejadian bagi kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi normal secepat mungkin.
“Penumpang dinasihatkan untuk merujuk laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai status perkhidmatan Laluan Kelana Jaya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE