JAKARTA – Seorang mangsa membuat laporan polis selepas dia ditipu oleh seorang wanita yang memalsukan identiti sebagai lelaki untuk menikahinya, demikian menurut saluran Liputan6 hari ini.
Perwakilan keluarga mangsa, Eko NS berkata, laporan polis dibuat kerana wujud pemalsuan identiti oleh suspek ketika proses pernikahan.
“Fokus kami adalah dokumen palsu yang digunakan untuk pernikahan,” kata Eko di balai polis Malang Kota, semalam.
Menurutnya, suspek memaksa mangsa membuat pasport dengan rancangan untuk pergi ke Kemboja. Perkara itu menyebabkan keluarga mangsa bimbang dia berisiko menjadi korban pemerdagangan manusia.
Sejak kejadian tersebut, mangsa masih trauma, takut untuk keluar rumah dan memilih berhenti bekerja.
Menurut Eko, suspek juga membuat pelbagai ancaman termasuk ugutan culik.
Keluarga berkenaan semakin bimbang setelah beberapa kali melihat sebuah kereta mencurigakan berada di sekitar rumah mereka. Namun, kenderaan itu segera meninggalkan lokasi saat dihampiri oleh penduduk setempat.
Sementara itu, ketua balai polis Malang Kota, AKP Rahmad Aji Prabowo mengesahkan menerima laporan kes tersebut. Beliau berkata, polis masih meneliti kes penipuan dan pemalsuan identiti itu.
“Kami sedang meneliti kes ini,” katanya.
Terdahulu, mangsa mengaku mengenali suspek pada awal Februari 2026 ketika bekerja di sebuah kafe di Kota Batu. Hubungan mereka kemudian berjalan lancar.
Pasangan itu bercinta pada 14 Februari 2026 dan memutuskan untuk berkahwin pada 3 April 2026.
Selama mana mereka berkenalan, mangsa tidak pernah curiga kerana suara dan penampilan suspek meyakinkan bahawa dia seorang lelaki.
“Dia mengaku lelaki, malah suaranya seperti lelaki,” kata mangsa.
Suspek mengaku berasal dari Jakarta dan bekerja sebagai seorang perunding. Dia menjanjikan rumah dan kereta mewah untuk mangsa.
Bagaimanapun, keluarga mangsa curiga selepas suspek hanya mampu memberikan mas kahwin 100 ribu rupiah(RM23).
Penipuan suspek terbongkar sepenuhnya pada malam pertama selepas pernikahan setelah mangsa melihat dia menggunakan alat kelamin buatan. – AGENSI

12 hours ago
8

















































