PETALING JAYA – Tidak berpuas hati dengan penugasan yang telah diarahkan dipercayai menjadi punca seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) memukul beberapa anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa dikenal pasti Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, dilaporkan tidak sedarkan diri, manakala enam lagi anggota cedera.
TDM dalam kenyataan berkata, kejadian terbabit dipercayai berlaku di pasukan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD), Kem Bentong.
“Menerusi siasatan awal, didapati seorang anggota PTTR telah menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka dan perut anggota-anggota tersebut.
“Akibat daripada insiden tersebut, Muhammad Amirul Raziq tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD sebelum dipindahkan ke Hospital Bentong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut TDM, Muhammad Amirul Raziq kini sedang menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Katanya, enam anggota lagi berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun telah diberikan rawatan perubatan yang sewajarnya dan kini dilaporkan stabil serta sedang dipantau pihak pasukan.
Sehubungan itu, tambahnya, anggota PTTR yang disyaki terlibat telah ditahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
“TDM memandang serius insiden ini dan satu lembaga siasatan sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Tindakan tegas yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang terlibat dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang – undang dan peraturan sedia ada,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang anggota tentera cedera parah dan tidak sedarkan diri selepas dipukul oleh seorang anggota tentera berpangkat koperal.
Polis kemudian menahan suspek berusia 37 tahun pada pukul 2.30 petang kelmarin bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga Sabtu. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
8















































