Tiada tandingan, Alia Bhatt tundukkan Kajol

5 hours ago 3

PELAKON terkenal Alia Bhatt sudah mencipta kejayaan besar pada Anugerah Filmfare 2025 apabila menggondol trofi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem, Jigra.

Kemenangan tersebut merupakan kali keenam buat Alia sekali gus menjadikannya sebagai aktres yang menerima anugerah terbanyak dalam sejarah penganjuran bagi kategori terbabit.

Sebelum ini, Alia pernah meraih trofi yang sama menerusi filem Udta Punjab, Raazi, Gully Boy, Gangubai Kathiawadi dan Rocky Aur Rani Kii Prem Kahaani.

Kejayaan luar biasa kali ini merupakan hatrik buat Alia kerana menang tiga kali berturut-turut untuk kategori yang sama sejak 2023.
Pencapaian tersebut meleburkan rekod cemerlang yang selama ini dipegang Kajol yang pernah menang sebanyak lima kali menerusi filem Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhie Kushi Kabhie Gham, Fanna dan My Name Is Khan.

Alia menerusi ucapannya berkata, kemenangan untuk Jigra sangat dekat dengan dirinya kerana karya terbabit sendiri mempunyai nilai sentimental.

“Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini. Saya berharap saya dapat berada di sana untuk mengambil anugerah ini sendiri. Tetapi biarpun tidak berada di sana, perasaan teruja dan gembira ini masih sama,” katanya.

Tidak masuk akal

Biarpun Alia menandingi Kajol untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, namun kedua-dua mereka memiliki jumlah trofi yang sama iaitu sebanyak tujuh buah trofi.

Kajol pernah memenangi anugerah Pelakon Antagonis Terbaik menerusi filem Gupt dan Anugerah Khas Bintang 90-an. Sementara Alia pula memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Pilihan Pengkritik menerusi filem Highway.

Kemenangan Alia turut menjadi pertikaian ramai kerana berpendapat, ada aktres yang lebih layak untuk menggengam trofi itu edisi kali ini seperti Yami Gautam yang mempamerkan aksi cemerlang dalam filem Article 370.

Kemenangannya sebanyak tiga kali berturut-turut juga dianggap tidak masuk akal kerana Jigra merupakan filem yang gagal pecah panggung di pawagam.

Dek kemenangannya, isu nepotisme kembali hangat diperkatakan. Ada yang mendakwa Karan Johar menjadi dalang kemenangan Alia memandangkan aktres itu pelakon kesayangannya sejak membintangi filem Student Of The Year.

Read Entire Article
Pertanian | | | |