PETALING JAYA – Penyanyi Indonesia, Nadin Amizah meluahkan rasa jijik dan kecewa apabila sekali lagi menjadi mangsa gangguan seksual ketika membuat persembahan di Pasar Senggol, Summarecon Mall Bekasi, semalam.
Ujar Nadin, 25, insiden menyedihkan itu berlaku ketika dia dikerumuni peminat sehingga melanggar batas keselamatan yang sudah diatur pihak penganjur dan pasukan pengawal peribadinya.
“Saya sangat kecewa dengan kalian. Bukan semua, tapi segelintir yang menolak dan merempuh kami walaupun kawasan itu sudah dipagar.
“Malam ini terjadi lagi, tubuh saya yang sangat saya jaga disentuh orang sesuka hati,” tulisnya dalam Instagram.
Lebih memilukan, pelantun Rayuan Perempuan Gila itu mengaku tidak mampu memaafkan diri sendiri kerana membiarkan insiden sedemikian berulang walaupun sudah berwaspada.
“Saya marah sangat dengan diri sendiri sebab benda ini terjadi lagi.
“Rasa sangat kotor dalam tubuh sendiri. Kalian semua bukan peminat,” luahnya penuh emosi.
Rata-rata peminat turut bersedih dan menzahirkan simpati terhadap penyanyi terbabit selain menasihatkan agar dia memasang lebih ramai pengawal peribadi ketika konsert.
“Sumpah sedih dan marah baca luahan Nadin, sebagai wanita saya sangat memahami,” tulis seorang peminat.
“Kenapa susah sangat nak jaga batas dan hormat ruang peribadi seseorang?
“Tangan tu gatal sangat nak meraba orang, tak faham dengan orang Indonesia ni, takde adab,” ujar netizen.
“Dah banyak kali terjadi. Fans macam ni bukan peminat tapi predator,” komen seorang lagi peminat.
Untuk rekod, insiden kali ini bukan yang pertama menimpa Nadin.
Pada September 2023, penyanyi itu pernah mengamuk dalam media sosial selepas diraba ketika mengadakan persembahan di sebuah lokasi di Bandung. – KOSMO! ONLINE