Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik hampiri kejuaraan

20 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuatkan Axiata Arena, Bukit Jalil ‘bergegar’ selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi, bekas juara dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan straight set 23-21, 21-18 ke atas Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dari Indonesia.

Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Aaron-Wooi Yik berdepan detik cemas apabila diheret sehingga ke penentuan deuce di set pertama, namun mereka berjaya mengekalkan fokus sebelum menang 23-21.

Hasil sokongan kira-kira 10 ribu penonton yang hadir, pasangan No.2 dunia itu mengekalkan momentum di set kedua sebelum melengkapkan kemenangan 21-18 biarpun diberikan tentangan sengit Fajar-Fikri.

“Sudah semestinya kami gembira dapat melangkah masuk ke pentas final. Selepas Malaysia Masters tahun lepas, ini adalah kali kedua kami berjaya ke perlawanan akhir di laman sendiri.

“Saya rasa peminat sudah menjalankan tugas yang sangat hebat bagi menyokong pasukan Malaysia. Terima kasih kepada semua peminat yang datang hari ini dan teruskan menyokong kami esok,” kata Aaron ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

WOOI YIK (kiri) cuba membalas pukulan dilakukan pemain lawan pada perlawanan hari ini. – SHIDDIEQIIN ZON

Menjelang perlawanan akhir yang akan berlangsung esok, Aaron-Wooi Yik bakal membuat perhitungan menentang gandingan juara dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Won Ho-Seung Jae yang merupakan beregu No.1 dunia memastikan kemaraan ke pentas final selepas membenam cabaran pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy menerusi kemenangan tiga set 8-21, 21-11, 21-18.

Atas kertas, kedua-dua beregu memiliki peluang seimbang untuk merangkul gelaran Jelajah Dunia Super 1000 itu apabila masing-masing memiliki satu kemenangan dalam dua pertemuan sebelum ini.

“Sudah lama tidak bertemu dengan mereka dan tahun lepas memang mereka berada di kemuncak. Esok adalah perlawanan pertama untuk tahun ini , jadi (peluang) 50-50 tetapi kita ada sedikit kelebihan laman sendiri,” ujar Aaron.

Sebagai rekod, kali terakhir pemain Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia adalah menerusi legenda badminton tanah air, Datuk Seri Lee Chong Wei ketika muncul juara pada edisi 2018. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |