PETALING JAYA – Tindakan menekan hon ketika memandu tidak semestinya bermaksud mengadakan provokasi, sebaliknya lebih kepada memberi amaran keselamatan di jalan raya.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, @Hey_amiraa berkata, hon sepatutnya digunakan sebagai isyarat amaran dan bukannya untuk mencetuskan konflik antara pemandu.
“Tujuan hon adalah untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya lain, bukan sebagai provokasi untuk bergaduh,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna bersetuju bahawa hon memainkan peranan penting sebagai langkah keselamatan, khususnya dalam situasi berisiko di jalan raya.
Menurut pengguna @Xorr44_35, penggunaan hon secara berhemah mampu mengelakkan kemalangan.
“Dalam banyak keadaan, hon digunakan sebagai peringatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Ia bukan bertujuan mencetuskan pertelingkahan,” ujarnya.
Bagaimanapun, terdapat juga pandangan bahawa cara menekan hon boleh mempengaruhi reaksi pemandu lain.
Pengguna, @Ilov.eneko berpendapat hon yang dibunyikan terlalu lama atau berterusan boleh dianggap agresif dan mencetuskan salah faham.
“Bunyi hon yang singkat masih boleh diterima, namun jika terlalu lama, ia boleh disalah tafsir sebagai tindakan marah atau agresif,” katanya.
Sementara itu, @Armadillo.4046311 berkongsi pengalaman pernah berdepan situasi hon digunakan secara berlebihan sehingga mencetuskan ketegangan di jalan raya.
“Penggunaan hon secara berpanjangan dan tindakan mengejar kenderaan lain boleh dilihat sebagai perbuatan membuli di jalan raya,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @__Aima3 menegaskan hon sering digunakan bagi mengelakkan risiko kemalangan terutama di kawasan sempit atau ketika cuaca buruk malah ia juga menjadi amalan biasa di negara lain.
“Sejujurnya, kadang-kadang timbul rasa ragu untuk membunyikan hon walaupun banyak manfaatnya. Pada kebiasaannya, hon digunakan sebagai langkah peringatan kepada diri sendiri atau pengguna jalan raya lain.
“Saya sendiri pernah ke Indonesia dan mendapati amalan membunyikan hon sangat biasa, terutama apabila penunggang motosikal melalui di sebelah bas atau kenderaan besar. Perkara itu dilihat sebagai langkah keselamatan dan wajar dicontohi. Tidak perlu dijadikan isu, yang penting adalah keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

21 hours ago
8





![[VIDEO] Pesta air Bukit Bintang tidak gambarkan identiti Malaysia – Pelancong](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-06-at-14.08.20.jpeg)









































