Tadika ‘barai’, umur pun dah 20 tahun

1 day ago 9

PETALING JAYA – Seorang bapa sedih dengan keadaan tadika anaknya yang didakwa mengalami beberapa kerosakan sehingga boleh mengundang risiko bahaya kepada kanak-kanak untuk belajar di tempat tersebut.

Menerusi hantaran pada Thread Muhammad Zulfadhill berkata, usia tadika itu kira-kira 20 tahun, namun dikatakan berdepan bajet yang terhad untuk membaikinya.

Katanya, dia kini memegang jawatan sebagai pengerusi tadika tersebut dan mendakwa, usaha telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan sebelum ini bagi membaik pulih tadika itu.

“Sebenarnya tadika anak aku ni dah barai. Umur sekolah pun dah dua dekad. Macam-macam perlu dibaiki. Kasihan lahai tengok tempat anak-anak menimba ilmu

“Tapi nak buat macam mana, bajet pun terhad. Nak tunggu ‘rotation’ bajet ambil
masa sedekad juga lah. Termenung aku.

“Selamat ke sekolah anak aku ni? Pembantu sekolah mengadu. Tempat-tempat rosak tu jadi sarang haiwan berbisa,” katanya pada hantaran berkenaan.

Menjawab kecaman dan kritikan orang ramai, Muhammad Zulfadhill menjelaskan, kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak di tadika tersebut adalah dalam kalangan golongan berpendatan rendah.

“Untuk pengetahuan tuan puan, semua ini perlukan duit. Aduan, kertas kerja sudah dibuat sebelum saya jadi pengerusi. Tapi masih belum ada tindakan.

“Untuk minta sumbangan awam, bukan semudah buat undian Threads dan minta pada orang awam,” tegasnya.

Dia berkata, pelbagai usaha telah dilakukan guru sebelum ini termasuk ketua kampung dan masyarakat setempat untuk memanjangkan masalah berkenaan kepada pihak terbabit melalui laporan yang dibuat.

“Malah saya diberitahu pegawai ada datang melawat. Tapi tindakan dan kata putus belum ada,” katanya.

Sementara itu, katanya, dia sedang melakukan pelbagai usaha termasuk membuat kertas kerja bersama pasukan, bertemu dengan bekas kakitangan serta usahawan yang berminat untuk tajaan sekali gus tidak mahu bergantung kepada sesiapa bagi mencari dana baik pulih tadika tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |