
- Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
- 30 Julai 2025, 5:41 pm
JOHOR BAHRU – Dua orang anggota polis direman selama tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM635,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan aktiviti perjudian.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos depan terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira pukul 2 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu di atas kesalahan aktiviti perjudian.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi (TPO) SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.- KOSMO! ONLINE