SOP khas kendali kes kesalahan kanak-kanak dilancarkan minggu depan

4 hours ago 2

KOTA TINGGI – Satu garis panduan prosedur standard operasi (SOP) khas bagi mengendalikan kes-kes kesalahan melibatkan kanak-kanak akan dilancarkan minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelancaran garis panduan itu akan diadakan pada 24 Oktober ini di Istana Kehakiman.

Katanya, melalui garis panduan tersebut kerajaan mahu semua kes melibatkan kanak-kanak sama ada sebagai pelaku atau mangsa diselesaikan dalam tempoh satu tahun.

“Ketua Hakim Negara dan Ketua Hakim Malaya juga telah bersetuju bahawa kes kanak-kanak mesti diberi keutamaan. Antara cabaran yang dikenal pasti sebelum ini ialah kelewatan kes disebabkan faktor seperti penangguhan, kekangan hakim dan logistik,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azalina memaklumkan, kerajaan bercadang menambah beberapa lagi Mahkamah Admiralti atau Mahkamah Maritim di Sabah, Sarawak, selatan dan utara Semenanjung tanpa perlu membawa semua kes berkaitan maritim ke Kuala Lumpur.

Jelasnya, cadangan itu bagi mempercepat proses pendakwaan berikutan ketika ini hanya terdapat satu sahaja Mahkamah Maritim untuk mengendalikan kes-kes berkaitan jenayah maritim. – KOSMO! ONLINE

The post SOP khas kendali kes kesalahan kanak-kanak dilancarkan minggu depan appeared first on Kosmo Digital.

Read Entire Article
Pertanian | | | |