DALAM arena papan selaju (skateboarding) di negara ini, nama Azzam Syafiq Samsuddin semakin kuat kedengaran dalam komuniti sukan ekstrem itu.
Anak muda berjiwa bebas itu baru-baru ini telah mewakili Malaysia ke sebuah pertandingan freestyle skateboarding di Jerman.
Pemuda berusia 33 tahun itu pada Jun lalu telah mewakili Malaysia dalam World Freestyle Skateboarding Championships 2025 dalam kategori amatur.
Untuk makluman, Azzam ketika ini berada di kedudukan ke-19 dunia dalam ranking rasmi Persekutuan Skateboard Freestyle Dunia (WFSA).
Berkongsi dengan Cita Rasa, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata, pengalaman berada di Jerman cukup menarik dan sukar dilupakan.
“Mungkin sukar untuk anda faham, sebenarnya salah satu sebab skaters dari pelbagai negara datang ke pertandingan ini adalah untuk meluangkan masa bermain bersama-sama sambil bertanding.
“Walaupun secara teknikalnya saya mempunyai pesaing dari serata dunia, namun kami tidak pernah anggap skaters sebagai pesaing.
“Malah, kami anggap lebih seperti keluarga yang besar.
“Walaupun saya datang jauh dari Malaysia, namun sewaktu giliran saya skate, saya menerima sokongan sangat luar biasa daripada para penonton yang rata-ratanya orang Eropah,” ujarnya.
Azzam juga terkenal sebagai skater yang sering memperagakan baju Melayu saat bermain skateboard.
Justeru tidak hairanlah, dia mendapat sumbangan yang sangat memberangsangkan apabila membuat kutipan dana untuk pergi ke Jerman.
AZZAM melakukan salah satu trick yang berbahaya.Katanya, dia cukup berbangga apabila dapat mengharumkan nama negara dan membawa Jalur Gemilang ke pertandingan antarabangsa.
Ujarnya lagi, ia menjadi bukti bahawa anak watan juga setanding dengan para pesaing dari luar negara.
“Apabila saya melihat bendera Jalur Gemilang berdiri di samping bendera-bendera lain, ia membuatkan saya lebih bangga dengan negara saya sendiri,” katanya.
Berkongsi tentang cabaran terbesar bagi pemain papan selaju sepertinya, Azzam berkata, dia sentiasa berdepan risiko mengalami kecederaan apabila belajar sesuatu trick.
Sama seperti rakan-rakannya, Azzam mula jatuh cinta dengan permainan papan luncur sewaktu di bangku sekolah menengah.
“Ketika itu, sukan ini dianggap cool dan dimainkan oleh golongan remaja yang mengikut trend.
“Kalau diikutkan, saya betul-betul jatuh cinta dengan sukan ini selepas saya terjatuh ketika bermain,” katanya.
Azzam memaklumkan, sukan papan selaju dipenuhi dengan unsur ‘memberontak’, sekali gus menjadi penyebab dia meminati aktiviti itu.
“Mungkin apabila saya cakap ‘memberontak’ orang akan fikir tentang vandalisme, sikap kurang ajar dan sebagainya.
“Pada saya, ‘memberontak’ adalah apabila saya tidak perlu ikut cakap orang lain.
“Sebagai contoh, dalam bola sepak, pemain perlu mengikut kata kapten, jurulatih, pengurus, ahli pasukan dan ramai lagi.
“Dalam skateboarding, saya tidak perlu patuh pada kata sesiapa langsung. Inilah pendirian yang saya pegang selama ini, dan membuatkan saya kekal dengan sukan ini walaupun umur sudah mencecah lebih 30-an,” katanya.

Antara pemain skate diminati oleh Azzam ialah Padin Musa dan Don Irfan (skater tempatan), Andy Anderson (Kanada) dan Marius Constantin (Romania).
Mengakhiri bicara, Azzam menitipkan nasihat buat anak muda yang mungkin berminat menjadi skater sepertinya agar tidak terlalu terburu-buru belajar trick tertentu.
“Mahirkan terlebih dahulu trick-trick asas supaya lebih mudah untuk anda belajar trick susah. Ia juga boleh mengurangkan risiko kecederaan.
“Kedua, jangan berlatih bersungguh-sungguh, tetapi berlatih dengan konsisten dan berdisiplin.
“Kalau mahu berlatih selama dua atau tiga jam setiap hari, pastikan anda melakukannya pada setiap hari.
“Jangan sekadar meluncur lapan jam sehari, kemudian rehat seminggu.
“Ketiga, pastikan anda ada masa untuk berehat dan dapatkan tidur yang cukup.
“Rehat juga adalah sebahagian daripada latihan,” katanya sebelum menutup bicara.

9 hours ago
5

















































