‘Siapa perempuan rambut panjang tu? Kami semua rambut pendek’

1 day ago 5

PETALING JAYA – Seorang ibu mengakui tidak mampu melupakan pengalaman seram yang dilaluinya selepas ternampak kelibat berambut panjang melintas di belakang ketika anak kecilnya merakam video menggunakan telefon bimbit.

Menerusi hantaran di Thread, @_littlemiss.syaa, kejadian dikatakan berlaku di rumah lama mereka pada tahun 2022.

Menurut wanita itu, anaknya memang gemar merakam menggunakan telefon miliknya ketika dia sedang makan, minum dan melakukan macam-macam aktiviti harian.

Bagaimanapun, kebanyakan rakaman jarang ditonton semula kerana sering berakhir dengan gelagat ‘mengarut’ yang mencuit hati.

Namun, semua itu berubah sekelip mata apabila satu rakaman yang ditonton semula membuatkan dia terpaku dan tidak percaya dengan apa yang dilihat.

“Terkejut eh aku tengok siapa pula lintas belakang aku dalam rumah aku ni. Rambut panjang? Sedangkan masa tu rambut aku dengan anak aku yang kecil ni pendek.

“Aku ulang-ulang video ni macam dah lebih 10 kali masa tu sampai anak aku perasan dia tanya, ‘Eh siapa tu mama?’ Aku cepat-cepat matikan telefon cakap takde apa, lepas tu tukar topik lain. Nasib anak aku masa ni tak banyak tanya,” ujarnya.

Jelasnya, dia cuba menahan reaksi kerana tidak mahu anak-anak kecilnya melihat ketakutan yang sedang dirasai, apatah lagi ketika itu hanya mereka bertiga berada di dalam rumah.

Tambah wanita berkenaan, selepas kejadian itu dia cuba mengingati semula apa yang dilakukan sebelum peristiwa berlaku, sebelum terdetik bahawa sehari sebelumnya dia ada mengunjungi sebuah pulau.

“Lepas tu aku fikir-fikir mana aku pergi. Baru aku ingat semalam aku ada pergi pulau ni. Em tak tahulah kalau benda tu ikut ke apa… tapi alhamdulillah takde kena kacau ke apa-apa,” katanya.

Katanya, pengalaman tersebut meninggalkan kesan trauma sehingga kini, termasuk rasa takut setiap kali terlihat pantulan pada skrin televisyen yang sudah dimatikan.

“Sampai sekarang aku sebenarnya trauma kalau tengok skrin televisyen yang dah tutup. Maku takut ada benda lain kat sebelah aku ke, kat mana-mana lah. Korang paham tak perasaan aku benda trauma tu,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang turut berasa seram melihat video terbabit selain turut berkongsi berdepan dengan pengalaman sama.

“Kak aku meremang kak walaupun tengok pagi,” komen Azizi.

“Ada tengok orang kongsi, dia ada beritahu tak elok biar televisyen macam tu. Senang kita nampak bayangan. Sis boleh tutup pakai kain kalau tak buka televisyen. Seram tengok,” komen Faraniel pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |