KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti mendedahkan dia terkejut mendengar kenyataan bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram sewaktu direman bersama Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64, di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Masai, Johor dua tahun lalu.
Saksi awam yang berusia 24 tahun itu berkata, Radin Imran menceritakan dia berasa sedih kerana mendakwa roh anaknya yang melakukan serangan tersebut sudah dibawa ‘burung hijau ke syurga’.
Saksi ketiga pendakwaan itu memberitahu, warga emas tersebut yang juga tertuduh kecewa kerana anaknya, Radin Luqman, 21, tidak mengajaknya untuk melakukan serangan di balai polis berkenaan.
“Pak cik (Radin Imran) itu juga cakap tentang darah anggota polis, askar dan institusi kerajaan halal dibunuh. Pak cik itu juga tidak keluar rumah sebab mempunyai tanggungjawab jihad dan menyebarkan ajarannya.
“Malah, pak cik itu beritahu dia bergaduh dengan abangnya sendiri kerana mereka enggan mengikuti ajarannya dan berhasrat membunuhnya. Saya mula sedar pak cik itu berbahaya dan takut akan keselamatan diri sendiri,” katanya.
Terdahulu, saksi tersebut yang menjalani latihan industri di sebuah syarikat swasta berkata, dia dan bekas teman wanitanya direman bagi membantu siasatan kes serangan di balai polis tersebut.
Dalam kejadian pada 17 Mei 2024, katanya, mereka berada di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 1 pagi untuk membuat laporan berkaitan gangguan seksual.
Katanya, ketika berbual dengan anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di luar balai, seorang lelaki tidak dikenali berpakaian serba hitam dan bertopeng memasuki kawasan balai dengan menaiki motosikal.
“Lelaki itu meletakkan motosikal di sebelah kanan kawasan balai. Tidak lama kemudian, anggota polis pergi memeriksa lelaki tersebut sebelum saya terdengar jeritan kuat kira-kira 15 minit kemudian.
“Saya bergegas masuk ke dalam balai untuk meminta bantuan sebelum saya dan bekas teman wanita bersembunyi di bawah meja kerana menyedari keadaan bahaya,” ujarnya.
Beberapa minit kemudian, dia terdengar bunyi beberapa das tembakan dilepaskan sebelum menghubungi talian 999. Selepas itu keadaan menjadi sunyi sebelum ambulans tiba di lokasi.
Selepas itu, pasangan tersebut dibawa keluar ke seberang jejambat di hadapan balai polis. Saksi itu kemudian dihubungi pihak polis sebelum dibawa ke IPD untuk dirakam keterangan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sepanjang berada di lokap, katanya, dia berpeluang mendengar sendiri ideologi dan pandangan tertuduh pertama. Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor bersambung lagi esok.- KOSMO! ONLINE

13 hours ago
8

















































