KENTAL. Itu frasa tepat untuk menggambarkan semangat perjuangan penyanyi muda Aisha Retno yang tidak mudah tunduk pada cabaran dalam mengukir nama sebaris penggiat seni tanah air.
Selepas mencipta kejayaan sebagai naib juara Anugerah Juara Lagu ke-38, perjalanan Aisha diuji apabila konsert sulungnya, konsert Aisha Retno Malam Sutera, yang dijadualkan berlangsung pada 16 November lalu terpaksa dibatalkan.
Namun, halangan tersebut tidak mematahkan langkahnya. Pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu bangkit dengan lebih kuat, malah berjaya mementaskan showcase The A.I.S.H.A Experience pada Julai lalu.
Tidak hanya itu, penyanyi berusia 25 tahun itu juga berjaya mengeluarkan album pertamanya berjudul Re.Hab, sekali gus mengukuhkan lagi portfolio seninya.
Malah, Aisha kembali menyentuh hati peminat dengan single terbaharu Semoga Saja, hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan pemuzik ternama Indonesia, Ade Govinda.
Lagu terbabit menampilkan sisi vokal Aisha yang lembut, namun penuh kekuatan, dibalut harmoni indah yang sarat dengan kejujuran dan doa.
“Sejujurnya, lagu ini bersifat peribadi untuk saya kerana mewakili rasa kehilangan dan doa yang mungkin pernah dirasai ramai orang.
“Justeru, saya amat berharap agar pendengar dapat merasakan kejujuran dalam setiap nada dan memperoleh kekuatan dalam harapan yang tersisa dalam diri,” katanya.
Semoga Saja menampilkan nuansa baharu dengan susunan tempo yang medium, namun tetap sarat dengan emosi.
Ade dalam pada itu menzahirkan hasrat agar kolaborasi ini menjadi pintu untuk kerjasama lebih besar pada masa mendatang.
“Semoga dengan adanya kolaborasi ini, kami dapat terus bekerjasama pada masa akan datang,” ujarnya ringkas.
Single tersebut dilancarkan bersama dengan video muzik rasmi yang diarahkan Bagoes Tresna Adji.
Proses penggambaran berlangsung beberapa bulan lalu di Cottage Basisir Pole, Pantai Carita, Indonesia.
Kisah visualnya memperlihatkan Aisha menyelami rasa yang masih menyimpan harapan akan kembalinya seseorang yang dicintai, sesuai dengan tema besar lagu berkenaan.
Semoga Saja boleh dinikmati di seluruh platform muzik digital bermula 19 September lalu manakala, video muzik rasminya pula boleh disaksikan dalam saluran YouTube Ade Govinda.