‘Selepas Prebet Sapu, filem kedua haruslah mainstream’

1 day ago 6

BUKAN mudah untuk memampatkan ratusan helaian teks daripada sebuah novel yang kompleks ke dalam durasi sebuah filem.
Itulah cabaran besar yang terpaksa digalas pengarah Muzzamer Rahman apabila memilih untuk mengadaptasi novel seram Kacau sebagai buah tangan terbaharunya.

Mula meneliti naskhah berkenaan sejak tahun 2019, Muzzamer mendedahkan dia terpaksa melakukan rombakan terhadap plot asal bagi mengejar kualiti visual yang lebih ‘menjadi’.

Muzzamer memberitahu, perancangan untuk mengadaptasi novel terbitan Buku Fixi itu sebenarnya sudah bermula sebelum pandemik melanda, namun tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebenarnya pemilihan novel Kacau bermula sejak 2019 lagi. Waktu itu, penerbit buku ini, Amir Muhammad, suruh saya baca.

“Dia beritahu ada rumah produksi berminat untuk adaptasi novel ini jadi siri. Kita dah baca, macam dah berminat, tapi projek itu tak berjalan sebab PKP.

“Kemudian, saya lancarkan filem pertama saya, Prebet Sapu. Selepas itu, saya fikir filem kedua saya haruslah naskhah yang ‘mainstream’.

“Jadi saya memilih genre seram sebab saya pernah hasilkan filem pendek seram. Saya teringat balik novel Kacau, jadi sejak hujung 2022 saya mula bangunkan balik untuk jadikan filem,” katanya kepada HibGlam semasa sesi penggambaran tersebut di ibu negara, baru-baru ini.

Sedar akan jangkaan tinggi daripada kelompok pembaca tegar, Muzzamer menjelaskan bahawa versi filem hanya mengekalkan kira-kira 40 peratus inti pati asal demi menyesuaikan kepadatan naratif layar perak.

“Persamaan antara novel dengan filem mungkin kurang lebih 40 peratus. Kita ada banyak juga perubahan untuk sesuaikan sebab novel sangat panjang.

“Banyak subplot yang kita rasa memanjangkan babak, jadi kita banyak ubah dengan izin penulis asal juga.

“Saya setuju proses (mampatkan jalan cerita) paling susahlah. Daripada 2019 sampai 2022, saya tulis empat ke lima deraf. Seorang kawan saya, penulis juga bernama Nazim Masnawi, dia tawarkan diri untuk tolong tulis.

“Bila dia mula tulis dan cerita, saya rasa saya dapat rasa inilah benda yang saya nak,” katanya lagi.

Bagi Muzzamer, kunci utama untuk memuaskan hati peminat adalah dengan meletakkan dirinya sendiri sebagai pembaca dan peminat novel tersebut terlebih dahulu.

“Untuk memuaskan jangkaan pembaca, saya sendiri kena jadi pembaca novel dan minat novel itu.

“Bila saya minat, saya tahu babak apa yang menarik, apa roh dalam novel untuk diadaptasi dan babak apa yang kita rasa kalau tak ada pun tak apa.

“Pertama, saya fahamkan novel itu sendiri. Kedua, bila nak adaptasi ini, saya sedar novel dan filem adalah dua medium berbeza.

“Antara teks dengan visual adalah kerja yang berbeza. Kalau saya boleh adaptasi novel kepada filem, saya harap penonton juga boleh adaptasi diri daripada pembaca menjadi penonton,” jelasnya.

Lokasi terbiar

Menyentuh mengenai penggambaran, Muzzamer mendedahkan hampir 70 peratus babak dilakukan pada waktu malam yang melibatkan 12 lokasi berbeza, termasuk hospital dan bangunan terbiar.

“Buat masa sekarang banyak dalam bangunan (indoor), ada juga luar (exterior) dekat hospital waktu malam. Saya rasa lebih kurang 60 ke 70 peratus adalah waktu malam.

“Kita ada 12 lokasi secara keseluruhan, dan dua daripadanya adalah tempat yang terbiar.

“Kita tak ada panggil bomoh, tapi waktu pelancaran ada baca doa selamat. Setiap hari sebelum mula penggambaran pun kita baca doa.

“Kalau pergi tempat ‘abandoned’ (terbiar), kita bersedia bukan setakat hal makhluk halus, tapi dari segi keselamatan tempat itu juga,” tutupnya.

Filem Kacau yang kini sedang rancak dalam fasa produksi difahamkan bakal menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |