Rayuan pendakwaan pembebasan Syed Saddiq 11 dan 12 Disember

1 week ago 10

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 11 dan 12 Disember bagi pendengaran rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas empat pertuduhan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Wan Ladin selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan-Timbalan Pendaftar Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof dan Mahyun Yusof secara dalam talian.

“Tarikh pendengaran pada 11 dan 12 Disember ini manakala pihak-pihak perlu memfailkan hujahan sebelum 26 November ini,” katanya yang turut memaklumkan pengurusan kes pada 27 November sebelum rayuan didengar.

Pada sesi pengurusan kes itu, Wan Shaharuddin mewakili pihak pendakwaan manakala peguam-peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Low Wei Loke mewakili Syed Saddiq.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan telah bersedia dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq terhadap empat pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Sebelum ini, pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut pada 25 Jun lalu.

Syed Saddiq ,33, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas terhadap keempat-empat pertuduhan menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Ia selepas mahkamah itu membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |