JOHOR BAHRU – Polis Johor memberkas tiga individu termasuk seorang wanita yang mengaku sebagai Ratu Nur Puteri Balqis yang disyaki membuat kenyataan melampau menghasut serta menghina agama Islam, institusi diraja serta kepimpinan negara.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ketiga-tiga individu terbabit terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita masing-masing berusia antara 17 hingga 49 tahun.
Menurutnya, kesemua suspek diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang di Taman Saujana di sini hasil maklumat orang awam.
“Polis Johor menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang mendakwa melihat satu video dimuat naik dalam aplikasi TikTok oleh pemilik akaun dikenali sebagai ratunurputribalqis.
“Video berkenaan mengandungi pelbagai dakwaan tidak berasas termasuk menyentuh isu sensitif melibatkan agama, kepimpinan negara serta institusi diraja,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Suspek juga didakwa membuat tuduhan terhadap Jabatan Agama Islam Negeri Johor terlibat dalam salah laku serta rasuah.
“Kandungan tersebut turut menyentuh soal ibadah apabila mendakwa solat fardu akan kembali kepada dua rakaat manakala solat sunat hanya satu rakaat serta ratunurputribalqis mengaku sebagai Nabi Muhammad SAW,”katanya.
Tambah beliau, hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif.
Jelasnya, pihak polis turut membuat beberapa rampasan bagi membantu siasatan lanjut termasuk peranti dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut.
Permohonan reman ke atas semua suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini sebelum dibenarkan tahanan selama empat hari bermula 31 Mac hingga 3 April bagi melengkapkan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE

6 hours ago
5




![[VIDEO] Ratu Nur Puteri Ratu Balqis mengaku dirinya Nabi Muhammad](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-31-at-4.43.26-PM.jpeg)











![[VIDEO] Ucapan 2022 isteri ‘rider’ maut dilanggar pemandu mabuk undang sebak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-30-at-2.53.22-PM-1.jpeg)































