
- Oleh MUSTAQIM MOHAMED
- 18 Oktober 2025, 3:21 pm
KOTA BHARU – Kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi, jelas menggembirakan kem Sabah FC.
Ketua jurulatihnya, Jean-Paul de Marigny berkata, beliau berasa gembira bukan hanya kerana kemenangan itu sendiri tetapi ini merupakan kali pertama pasukan kendaliannya dalam menjalani sesi latihan seminggu penuh.
Menurutnya, ia sangat membantu kerana beliau serta seluruh pasukan mempunyai ruang untuk berbincang mengenai keperluan mengubah corak permainan setelah melalui tiga kekalahan berturut-turut dalam perlawanan Liga Super sebelum ini.
“Ini kali pertama kami dapat menjalani latihan seminggu penuh dan ia memberi ruang kepada pemain-pemain untuk lebih memahami bagaimana kami mahu bermain dan berjaya melaksanakan setiap perancangan dengan baik.
“Bagaimanapun ini baru fasa pertama (perubahan corak permainan) dan kami akan bertambah baik selepas ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi. – KOSMO! ONLINE