PETALING JAYA – Seorang pesara syarikat swasta kerugian hampir RM6 juta selepas terperdaya dengan sindiket penipuan telefon menyamar sebagai pegawai Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata pihaknya menerima laporan dari polis daerah Subang Jaya berhubung kejadian itu selepas mangsa berusia 73 tahun menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pada Mei lalu, mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai NFCC Putrajaya dan menuduh mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.
“Mangsa kemudian disambungkan kepada kononnya pegawai kanan polis mengaku dari IPK Sarawak.
“Suspek mengatakan mangsa disyaki terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan mangsa perlu mengisytiharkan harta dan simpanan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli berkata, pada Jun lalu, suspek turut mengarahkan mangsa membuka empat akaun bank berasingan di Affin Bank, Alliance Bank, AmBank dan Bank Simpanan Nasional sebelum memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun berkenaan.
“Mangsa diarahkan memasukkan semua kad ATM ke dalam sampul surat dan meninggalkannya di padang permainan USJ 22/1, selain turut memberikan maklumat perbankan kepada suspek,” ujarnya.
Tambah beliau, mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas memaklumkan kepada anaknya sebelum membuat laporan polis.
Shazeli berkata, mangsa dianggarkan mengalami kerugian keseluruhan RM5,996,586.51.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Shazeli menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang mengaku daripada mana-mana agensi kerajaan kerana pihak berkuasa tidak berurusan melalui panggilan atau mesej. – KOSMO! ONLINE