Penyokong buat solat hajat perdana mohon keadilan buat Najib

3 hours ago 4

PUTRAJAYA – Keadilan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus dituntut oleh kumpulan penyokong menerusi penganjuran Solat Hajat Perdana Demi Najib 3.0 yang diadakan semalam.

Menurut kenyataan dikeluarkan, penganjuran majlis itu menjadi simbol solidariti dan harapan rakyat, khususnya penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, penyokong terus istiqamah mendoakan kesejahteraan, kekuatan dan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu selaras dengan prinsip keadilan Islam dan kedaulatan undang-undang negara.

Menurut seorang penceramah, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, Najib wajar diberikan ruang untuk bersama kepimpinan dan penyokong UMNO dan BN, khususnya dalam mendepani cabaran politik semasa termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Najib merupakan aset strategik dan ramuan terbaik kepada kebangkitan semula UMNO dan BN.

“Pengalaman luas, kepimpinan berwibawa serta pengaruh beliau terbukti mampu menyatukan parti dan mengembalikan keyakinan pengundi,” katanya.

Dalam pada sama, Najib dilihat kekal menjadi figura utama UMNO dan BN, yang berupaya menarik sokongan akar umbi serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju parti.

Selain itu, kesemua penceramah turut bersepakat bahawa Najib masih menggunakan saluran perundangan yang sah untuk mendapatkan keadilan, termasuk mengemukakan representasi dan permohonan semakan mengikut peruntukan undang-undang yang dibenarkan.

“Tuntutan keadilan ini bukan bertujuan mencabar institusi kehakiman, sebaliknya menekankan kepentingan prinsip perbicaraan adil, ihsan dan kebijaksanaan dalam pelaksanaan hukuman, selaras dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada 25 Disember lalu, Najib didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Beliau kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |