Penjaga pusat kebajikan kanak-kanak mengaku salah ‘sentuh’ budak lelaki, pengasas nafi

4 hours ago 4

AMPANG – Seorang penjaga sebuah rumah kebajikan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fIzikal termasuk persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki.

Tertuduh Retna Velu, 25, membuat pengakuan bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin dan Hakim Ho Kwong Chin.

Di hadapan Hakim Norshila, tertuduh berdepan dengan enam pertuduhan, manakala di hadapan Hakim Kwong Chin tertuduh berdepan dengan sembilan pertuduhan.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta seks luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga13 tahun (umur sewaktu kejadian).

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Selayang antara November 2025 dan Mac tahun ini.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b),15 (a)(i), 15(a)ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Seksyen 14(a), 14(b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen 15 (a)(i), 15(a)(ii) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi Seksyen 377C memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga tarikh fakta kes dan jatuh hukum pada 21 Mei ini.

Sementara itu S.Valan, 31, pada prosiding sama pengasas rumah kebajian tersebut turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan kesalahan sama.

Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila, manakala satu pertuduhan di hadapan Hakim Kwong Chin.

Mengikut keempat-empat pertuduhan Valan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 tahun hingga 16 tahun (umur waktu kejadian) pada dua lokasi iaitu di pusat jagaan kanak-kanak itu dan sebuah bilik di Kalumpang, Hulu Selangor antara 18 Mac 2019 dan Ogos 2025 yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) yang memperuntukkan hukuman sama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 10 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin dan Nadiah Malek Fauzie.

Retna Velu tidak diwakili peguam manakala Valan diwakili peguam Amalia Daud dan R.Roshini.

Terdahulu sebelum sesi pendakwaan, suasana agak tegang apabila keluarga mangsa cuba mendekati kedua-dua tertuduh ketika mereka diiringi pihak polis ke dalam mahkamah.

Bagaimanapun keadaan kembali tenang selepas kedua-dua tertuduh yang dikawal polis dibawa terus naik ke mahkamah.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mendedahkan menjadi mangsa liwat di sebuah rumah kebajikan di Batu Caves, Selayang sejak dua tahun lalu.

Mangsa merupakan antara lebih 20 kanak-kanak berusia sembilan hingga 17 tahun yang mengalami penderaan fizikal dan seksual di rumah kebajikan tersebut yang telah beroperasi selama 10 tahun itu.

Dakwanya, perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh pengasas rumah tersebut yang berusia 31 tahun.

Menurut mangsa, dia diliwat sambil dirakam di tandas rumah kebajikan dengan disaksikan rakan-rakannya selain turut menerima jahitan di kawasan kemaluan disebabkan kejadian itu.

Tambah kanak-kanak tersebut, dia tidak berani untuk memaklumkan insiden itu kepada sesiapa kerana sering dipukul menggunakan batang buluh di kepala selain dilumurkan dengan cili merah di muka.

Selain kanak-kanak tersebut, seorang lagi mangsa lelaki berusia 15 tahun turut mendedahkan perkara sama apabila didera secara seksual sejak empat tahun yang lalu.

Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor (PKTTS), S Maran, yang mendedahkan kes tersebut berkata, selain pengasas, terdapat dua lagi pembantunya yang juga terlibat dengan kes amang seksual melibatkan ramai mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |